Mahkamah perintah Hafiz Roshdi dihantar ke Hospital Bahagia
MAHKAMAH Majistret Kuala Kubu Bharu hari ini memerintahkan pelakon, Hafidz Roshdi, 29, dihantar ke Hospital Bahagia bagi menjalani rawatan psikiatri.
Perintah itu dikeluarkan Hakim Siti Fatimah Talib yang bertindak selaku majistret selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Qistini Qamarul Abrar bagi pemeriksaan mengikut Seksyen 342 Kanun Acara Jenayah.
Terdahulu, Hafidz mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu atas tuduhan menyebabkan kecederaan ke atas isterinya.
Hafidz tiba di mahkamah dengan menaiki sebuah kenderaan pikap pada jam 8.32 pagi sebelum masuk ke kompleks mahkamah dengan diiringi lima individu dipercayai termasuk peguam mewakilinya.
Pada 2 Mac lalu, Hafidz ditahan polis selepas dipercayai menumbuk isterinya di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Buloh, bagi membantu siasatan kes itu.
Dia ditahan ketika hadir di Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.
Bagaimanapun, pelakon itu dibebaskan dengan jaminan polis sebaik selesai diambil keterangan pada petang hari sama.
Nurul Shuhada sebelum ini membuat laporan polis di Balai Polis Jinjang mendakwa ditumbuk suaminya beberapa kali sehingga cedera di bahagian mata.
Pelakon terbabit berdepan kontroversi apabila kisah rumah tangga mereka menjadi perbualan hangat ekoran dakwaan curang.
Pelakon itu kemudian menceraikan isterinya dengan talak satu pada 23 Februari lalu. – Malaysiapost