Muhyiddin didakwa lagi hari ini

Muhyiddin didakwa lagi hari ini

BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini dipercayai atas pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.

Ahli Parlimen Pagoh itu akan didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA).

Terdahulu, pengamal media mula berkumpul di pekarangan Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, seawal jam 7 pagi untuk membuat liputan kes berkenaan.

Bagaimanapun, petugas media hanya dibenarkan berkumpul di pintu pagar kompleks mahkamah kerana kebenaran memasuki pekarangan diberikan bermula jam 8 pagi tadi.

Setakat ini, penyokong Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu masih belum kelihatan dan hadir bagi memberi sokongan.

Berdasarkan semakan sistem e-kehakiman, kes itu akan didengar di Mahkamah Sesyen 1, di hadapan Hakim Rozilah Salleh jam 9 pagi.

Jumaat lalu, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM232.5 juta dan pengubahan wang haram berjumlah RM195 juta.

Muhyiddin, 76, didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya menerima rasuah dan dua pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram.

Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri itu, yang juga Pengerusi Perikatan (PN) mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Azura Alwi. – Malaysiapost

Komen