‘Once a fighter, always a fighter’ – anak Zahid

‘Once a fighter, always a fighter’ – anak Zahid

EXCO Wanita Umno, Nurulhidayah Ahmad Zahid, yakin barisan kepimpinan baharu yang menerajui sayap itu mampu memperkasa agenda wanita selari dengan perubahan lanskap baharu politik Malaysia.

Beliau yang memenangi jawatan itu dalam pemilihan parti kelmarin, berkata barisan Exco yang terpilih itu juga diyakini mempunyai waktu untuk mengembalikan kegemilangan Umno.

“Kita semua tahu selepas ini terlalu banyak cabaran dan kerja yang menanti kita dihadapan.

“Iltizam Nurul adalah untuk bersama-sama Kak Ani (Ketua Wanita, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad) untuk menterjemahkan perjuangan kita dalam memperkasakan agenda Wanita dan membawa perubahan selari dengan lanskap baharu politik Malaysia,” katanya menerusi Facebook.

Dalam pada itu, anak sulung kepada Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu berkata, barisan Exco baharu ini juga akan memantapkan kepimpinan Wanita di peringat Pusat, bahagian dan cawangan.

“Ingatan untuk diri saya, ‘once a fighter, always a fighter’. Dalam politik, ‘there’s no turning back’. Yang ada ‘either you go slow or you go fast’. Kekal positif dan jalan terus.

“Ramai yg akan memerhati dan menilai tetapi tidak semua penilaian orang itu betul dan tepat. Cukuplah perbuatan dan niat kita dinilai Allah,” katanya.

Sementara itu, beliau juga turut mengucapkan terima kasih kepada Noraini dan Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil kerana mempunyai semangat dan jiwa besar meraikan Pemilihan Wanita Umno 2023-2026.

“Khusus buat Kak Ani (Norani) tahniah kerana telah dipilih semula sebagai Ketua Wanita Umno Malaysia.

“Buat Aunty Ijat (Shahrizat), anda sentiasa menjadi idola saya. Personaliti, kekuatan, kebijaksanaan anda adalah perkara yang saya kagumi. Anda istimewa dengan cara anda sendiri,” katanya. – Malaysiapost

Komen