Pemilihan Wanita Kuala Kedah: Tiada pengundi hantu – Umno Kedah

Pemilihan Wanita Kuala Kedah: Tiada pengundi hantu – Umno Kedah

UMNO Kedah menafikan wujud ‘pengundi hantu’ dalam pemilihan Wanita Bahagian Kuala Kedah kelmarin, sehingga menyebabkan proses pengundian terpaksa dilakukan semula Rabu ini.

Setiausaha Umno Kedah, Datuk Ariffin Man menjelaskan sebaliknya ia hanyalah kesilapan teknikal ketika pendaftaran perwakilan.

“Sebenarnya ada kesilapan teknikal pada pihak jawatankuasa penganjur apabila mereka gagal mendaftarkan perwakilan dengan betul ketika ketibaan mereka untuk mengundi.

“Ini menyebabkan beberapa perwakilan yang mempunyai surat pentauliahan tidak didaftarkan sebagai pengundi sehingga menimbulkan kekeliruan ketika proses penjumlahan undi dibuat.

“Jadi tidak timbul isu pengundi hantu ketika pengundian, ia hanya andaian kerana undian tambahan berbanding jumlah perwakilan yang didaftarkan secara rasmi oleh jawatankuasa penganjur,” katanya seperti dilapor BH.

Berikutan itu, Ariffin berkata, pihaknya memutuskan pemilihan bagi sayap Wanita Bahagian Kuala Kedah diadakan semula di Ibu Pejabat Umno Kedah, Rabu ini.

“Kita putuskan pemilihan berkenaan akan dibuat semula Rabu ini, dan semua urusan pengundian akan dikendalikan Jawatankuasa Pemilihan selain dipantau pihak Ibu Pejabat Umno.

“Perwakilan Wanita boleh datang pada bila-bila masa bermula jam 2.30 hingga 5.30 petang untuk membuang undi,” katanya.

Pemilihan Wanita Umno Bahagian Kuala Kedah menyaksikan pertembungan antara bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim dan penyandangnya Noor Hasita Mat Isa.

Bagaimanapun, keputusan pemilihan itu terpaksa ditangguhkan berikutan percanggahan jumlah kertas undi dalam pengiraan sehingga ia disyaki membabitkan kehadiran pengundi hantu.

Kontroversi itu timbul apabila jawatankuasa pemilihan bahagian itu mendapati terdapat 570 kertas undi selepas proses pengundian berbanding jumlah 521 perwakilan yang menghadiri mesyuarat sayap itu.

Terdapat 750 perwakilan Wanita yang layak mengundi daripada 150 cawangan Umno Bahagian Kuala Kedah dengan 521 perwakilan hadir untuk pemilihan yang diadakan di Dewan Ukir Mall, Alor Setar. – Malaysiapost

Komen