Penganiayaan politik: Laporan polis terhadap Muhyiddin
LAPORAN polis dibuat ke atas Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung dakwaan kerajaan menggunakan agensi penguatkuasaan untuk melakukan penganiayaan politik.
Setiausaha politik menteri kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, laporan polis itu dibuat di Ibu Pejabat Polis (IPD) Putrajaya berikutan kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas Perdana Menteri pada Jumaat lalu disifatkan sebagai fitnah.
“Kenyataan tersebut menunjukkan bahawa beliau telah membuat pertuduhan dengan mendakwa bahawa pendakwaan ke atas beliau dibuat berdasarkan arahan perdana menteri yang telah menggunakan agensi penguatkuasaan sebagai alat untuk mendakwa beliau dan pendakwaan yang dibuat adalah merupakan suatu pendakwaan terpilih, bermotif politik dan suatu bentuk penganiayaan yang memberikan gambaran bahawa wujudnya unsur campur tangan dalam proses siasatan dan pendakwaan ke atas beliau,” katanya dipetik Malaysiakini, hari ini.
Jumaat lalu, Muhyiddin dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas kesalahan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan RM232.5 juta, yang didakwa diperoleh daripada tiga syarikat dan seorang individu semasa dia menjadi perdana menteri.
Dalam laporan polisnya, Muhammad Kamil berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara telah menafikan berlaku campur tangan politik berkait pendakwaan terhadap Muhyiddin.
Justeru, dia menggesa pihak polis menyiasat Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berhubung kenyataan berunsur fitnah itu. – Malaysiapost