Program Jom Ziarah Gereja sasar belia bukan Kristian dibidas

Program Jom Ziarah Gereja sasar belia bukan Kristian dibidas

SATU program ‘Jom Ziarah Gerja’ yang menyasarkan belia bukan Kristian sedang dipromosi secara terbuka di laman sosial ketika ini. 

Perkara itu didedahkan pemimpin Bersatu, Chegubard yang mendakwa program itu dianjurkan sebuah pertubuhan. 

Chegubard atau nama sebenar Badrul Hisham Shaharin yang kini pemimpin Bersatu Johor dalam hantaran di Facebook miliknya berkata, menerusi program itu belia akan terlibat bersama dengan matlamat untuk memberi pendedahan tentang persamaan dan perbezaan agama menerusi aktiviti lawatan dan kesukarelawan.

“Program dijadualkan berlangsung pada 18 Mac, Sabtu ini di Church Of Our Lady Of Louders, Klang…. difahamkan akan diadakan seluruh negara selepas itu,” katanya.

Chegubard turut membidas bagaimana program itu mendapat kebenaran pihak berkuasa ketika ramai pendakwah Islam dilarang mengadakan program agama di beberapa negeri berikutan tiada tauliah menyampaikan ceramah agama. 

Sementara itu, Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama Umno, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata pihaknya mengalu-alukan sebarang program yang boleh membina persefahaman dan toleransi beragama dalam masyarakat.

Katanya, ia boleh dianjur dan dipupuk dengan banyak cara menerusi program sosial, kebajikan dan pendidikan.

“Namun, ia tidak sesuai dilaksanakan dalam bentuk menjemput anak muslim ke gereja kerana ia boleh mendedahkan orang Islam kepada usaha dakyah ajaran kristian kepada orang Islam yang termasuk dalam Perkara 11 (1) Perlembagaan.

“Ia memperuntukkan bahawa: “Tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkan agamanya.”

“Kita juga memperingatkan NGO-NGO yang mempromosi program sebegini dengan enakmen kesalahan jenayah Selangor sebagai contoh yang melarang sebarang usaha mendedahkan orang Islam kepada apa-apa ucapan atau pertunjukan sesuatu mengenai ugama bukan Islam sama ada dengan cara mengunjungi atau mengatur perjumpaan atau menghubungi orang Islam,” katanya. – Malaysiapost

Komen