Sany, kerajaan digesa mohon maaf kepada guru KAFA
DAKWAAN guru agama Kelas Al Quran dan Fardhu Ain (KAFA) berpolitik di sekolah adalah satu fitnah biadap dan keterlaluan, kata Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu berkata, ucapan Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) di Dewan Rakyat hari ini berkenaan guru-guru agama KAFA, membayangkan sikap sebenar kerajaan PH-BN ketika ini.
“Ahli Parlimen PH hari ini mendakwa dalam Dewan Rakyat bahawa guru-guru KAFA berpolitik di sekolah mempengaruhi anak murid, sebut benda benda yang tak sepatutnya disebut oleh guru-guru KAFA.
“Ini fitnah biadap terhadap guru-guru KAFA. Dakwaan ini keterlaluan, dan ia membayangkan sikap sebenar PH-BN terhadap guru-guru agama dan pendidikan agama,” katanya di Facebook, hari ini.
Bekas Ketua Penerangan Bersatu itu berkata, kerajaan sepatutnya memperjuangkan dan membela nasib guru-guru KAFA.
“Guru-guru KAFA berhempas pulas mendidik anak-anak kita mengenai asas-asas agama. Sepatutnya kerajaan mencari jalan memperjuangkan kebajikan guru-guru KAFA dan menaikkan elaun bulanan mereka.
“Jika sekalipun tidak mahu hormat kepada pendidik agama, janganlah sampai menghina dan memfitnah mereka,” katanya.
Justeru, Wan Saiful mendesak Sany dan kerajaan PH-BN memohon maaf terhadap dakwaannya kepada guru-guru agama KAFA.
“PH-BN mesti segera mohon maaf kepada semua guru-guru KAFA seluruh negara. Jika tiada permohonan maaf, maksudnya PH-BN menyokong fitnah terhadap pendidik agama negara kita,” katanya. – Malaysiapost