Simpan fail KDN menyalahi Akta Rahsia Rasmi

Simpan fail KDN menyalahi Akta Rahsia Rasmi

AHLI Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim mendakwa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin melakukan kesalahan undang-undang jika terbukti menyimpan dokumen sulit sejak menjadi Menteri Dalam Negeri.

Beliau yang juga seorang peguam, berkata demikian selepas Hamzah mendakwa mempunyai banyak ‘fail’ mengenai pemimpin kerajaan semasa Ahli Parlimen Larut itu menjadi menteri.

Hassan berkata, fail pejabat menteri adalah harta kerajaan, dan tidak boleh dibawa keluar dari bangunan kerajaan atau disalin dalam apa cara sekalipun, lapor Malaysiakini.

Kata lagi, menteri juga terikat dengan sumpah jawatan untuk menjaga rahsia, semasa melafazkan taat setia mereka di hadapan Yang di-Pertuan Agong.

“Kenyataan Hamzah itu bertentangan dengan Akta Rahsia Rasmi dan sumpah rahsia,” katanya.

Semalam, Hamzah yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) mengingatkan kerajaan supaya tidak terlalu kerap mencari kesalahan pembangkang.

Hamzah berkata, sebagai bekas Menteri Dalam Negeri beliau juga boleh mencari kesalahan mereka kerana memiliki banyak ‘fail’ pemimpin kerajaan.

Namun, beliau menegaskan masih berfikir sama ada mahu menggunakannya atau tidak. – Malaysiapost

Komen