Tuduhan ‘sakau’, ‘penyamun’ suatu kezaliman

Tuduhan ‘sakau’, ‘penyamun’ suatu kezaliman

SEMUA pihak diminta bersikap adil apabila membuat sebarang tuduhan terhadap rakan mahupun musuh politik dengan pelbagai gelaran.

Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama Umno, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali apabila menuduh seseorang tertuduh di mahkamah sebagai “sakau”, “penyamun” dan sebagainya, ia adalah satu kezaliman.

Ini kerana katanya, tertuduh belum didapati bersalah tetapi tanpa rasa bersalah ia disebarkan seluas-luasnya kerana dianggap musuh politik.

“Apabila orang yang kita suka pula dituduh di mahkamah kita berteriak dan menjerit ia adalah kezaliman. Adakah zalim dan tidak itu terikat dengan suka dan benci pada seseorang?

“Islam mengajar kita berlaku adil dengan berpegang pada prinsip “seseorang tidak bersalah selagi tidak dibuktikan sebaliknya”.

“Keadilan itu mesti ditegakkan sama ada kepada orang yang kita suka atau kita benci. Itulah prinsip Islam,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Mengulas lanjut, bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berkata dulu apabila PAS bersama Umno dalam Muafakat Nasional, tiada kedengaran tuduhan sakau dan penyamun kepada rakan tertuduh.

“Rakan politik dipertahankan atas nama keadilan Islam. Sebaik berakhir muafakat politik, neraca dan kayu ukur keadilan telah berubah. Seolah adil dan zalim itu berlandaskan neraca seseorang itu adalah rakan atau musuh dalam politik.

“Berlaku adillah pada lawan atau kawan kerana itulah prinsip Islam. Adil bukan hanya bicara di lidah tetapi perlu ditegakkan,” katanya lagi. – Malaysiapost

Komen