Yana Najib janji tak kecewakan Puteri Umno
EXCO Puteri Umno yang baharu, Noryana Najwa Najib berjanji tidak akan mengecewakan ahli sayap Umno itu yang memberi kepercayaan kepadanya untuk menggalas tanggungjawab berkenaan.
Menurut anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu, sokongan ahli Puteri yang tidak berbelah-bagi terhadapnya memberikannya motivasi dan tekad untuk terus bekerja lebih keras lagi.
“Banyak yang perlu kami laksanakan sekiranya Puteri Umno ingin memainkan peranan untuk mengembalikan sokongan anak muda kepada parti yang kita cintai. Puteri perlukan segala idea dan bakat adik-adik Puteri.
“Tanggungjawab ini perlu dilaksanakan dengan penuh komitmen and the work starts now!.
“InsyaAllah Yana tidak akan mengecewakan anda, dan Yana akan sentiasa bersama anda,” katanya menerusi Facebook.
Serentak itu, Yana yang juga Ketua Puteri Umno Bahagian Lembah Pantai mengajak semua pihak dalam pergerakan itu untuk bekerjasama demi membina masa depan yang lebih baik untuk parti.
Dalam pada itu, Yana melahirkan rasa bersyukur kerana kempen sepanjang pemilihan parti berjalan lancar serta mendapat sokongan dan kepercayaan semua ahli pergerakan itu.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada ahli sayap parti yang mengundi termasuk memberi bantuan dan sokongan kepadanya.
“Yana bangga menjadi sebahagian daripada komuniti yang menghargai semangat perjuangan.
“Penyertaan anda dalam kempen telah mempersembahkan nilai-nilai kebersamaan dan komitmen untuk mencipta masa depan yang lebih baik untuk negara kita.
“Sekali lagi, Yana dengan ikhlas mengucapkan terima kasih kepada sahabat-sahabat Puteri Umno, ahli keluarga rakan-rakan, sukarelawan, dan pasukan kempen yang bekerja tanpa henti untuk memastikan kejayaan kita,” katanya. – Malaysiapost