Aliff Syukri lantik isteri Hafidz Roshdi jadi duta tudung

Aliff Syukri lantik isteri Hafidz Roshdi jadi duta tudung

USAHAWAN kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri berkongsi rezeki bersama Nurul Shuhada Mat Shukri dengan menawarkan isteri pelakon Hafidz Roshdi itu menjadi duta koleksi hijab jenamanya, AS Hijab.

Aliff berkata, beliau mahu membantu Nurul Shuhada meringankan beban dan meneruskan kehidupan selepas keluar daripada kemelut rumah tangga bersama pelakon itu.

“Hari ini pertama kali saya jumpa @shushukriii. Riak wajah dia nampak sedih dan memendam. Saya cuba menyelami apa beliau rasakan dan pada say ajika masih boleh diselematkan rumah tangga mereka alangkah lebih baik.

“Saya juga tahu Shu berusaha demi mencari rezeki dan saya juga berkongsi rezeki untuk membantu beliau menjadi duta saya.

“Mudah mudahkan sedikit sebanyaj dapat bantu Shu teruskan kehidupan,” katanya dalam entri di Instagram.

Dalam masa sama, Aliff turut menasihatkan para suami agar menghargai jangan sesekali mengasari isteri.

“Buat lelaki di luar sana hargailah isteri, layani isteri sebagai seorang ibu. Layani isteri seperti dia adalah bidadari kita,” katanya dalam video itu.

Semalam, Hafidz didakwa di Mahkamah Kuala Kubu Baru, Selangor atas pertuduhan mencederakan isterinya, baru-baru ini.

Bagaimanapun, pelakon berusia 29 tahun itu mengaku tidak bersalah menyebabkan kecederaan ke atas isterinya.

Pada 2 Mac lalu, Hafidz ditahan polis selepas dipercayai menumbuk isterinya di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Buloh, bagi membantu siasatan kes itu.

Dia ditahan ketika hadir di Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Bagaimanapun, pelakon itu dibebaskan dengan jaminan polis sebaik selesai diambil keterangan pada petang hari sama.

Nurul Shuhada sebelum ini membuat laporan polis di Balai Polis Jinjang mendakwa ditumbuk suaminya beberapa kali sehingga cedera di bahagian mata.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika mangsa bersama suaminya berada di dalam kereta di R&R di sekitar Sungai Buloh. – Malaysiapost

Komen