Buang duit, saya tak ambil ganja – Rafizi

Buang duit, saya tak ambil ganja – Rafizi

BUANG duitlah hantar ganja pada saya, sebab saya tak ambil ganja!

Demikian reaksi Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mengenai bungkusan atas namanya berisi ubat gigi ekstrak dan daun ganja yang dirampas polis di Pulau Meranti, Sepang, Jumaat lalu.

Bungkusan berlainan mengandungi bahan sama turut dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Rafizi, beliau tidak melihat isi bungkusan berkenaan kerana ia telah diserah kepada polis untuk siasatan.

“Saya tak tengok pun (bungkusan), orang hantar ganja, jadi polis datang ambil.

“Saya tak lihat dan tak buka, tapi ia dihantar kepada Perdana Menteri dan saya, jadi sudah tentu ia dihantar terus ke balai polis,” katanya kepada media di Dewan Rakyat hari ini.

Semalam Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, seorang lelaki yang juga petugas di pejabat pertanyaan Kementerian Ekonomi, Putrajaya telah menerima satu panggilan telefon memaklumkan ada satu bungkusan atas nama Menteri Ekonomi dan Perdana Menteri di syarikat kurier itu.

“Berdasarkan maklumat diterima, bungkusan itu disyaki mengandungi barang terlarang dan pada minggu lalu, pejabat Menteri Ekonomi turut terima satu bungkusan mengandungi ‘daun kanabis’,” katanya.

Wan Kamarul Azran berkata, perkara itu telah dimaklumkan kepada Setiausaha Sulit Kanan Menteri Ekonomi, Rashidi Ruskin.

“Kita telah merampas satu tiub ubat gigi berpenutup berwarna hijau dan putih bercorak daun ganja mengandungi pes putih kehijauan disyaki ubat gigi dan ekstrak daun ganja anggaran berat 80 gram yang dijumpai dalam bungkusan kotak,” katanya.

Wan Kamarul Azran menjelaskan, hasil siasatan mendapati bungkusan itu dibeli oleh pengirim melalui laman e-dagang yang beralamat di Indonesia. – Malaysiapost

Komen