DUN Melaka lulus usul benar Adun hadir persidangan tanpa pakai tali leher

DUN Melaka lulus usul benar Adun hadir persidangan tanpa pakai tali leher

DEWAN Undangan Negeri (DUN) Melaka hari ini meluluskan usul membenarkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang menghadiri persidangan tidak perlu memakai tali leher.

Yang Dipertua DUN Melaka, Datuk Ibrahim Durum, berkata kebenaran itu selaras pendekatan dibuat di peringkat Persekutuan.

Pendekatan tersebut katanya, apabila Yang Dipertua Dewan Rakyat membenarkan Ahli Parlimen yang hadir persidangan untuk tidak mengenakan tali leher dan dibolehkan memakai baju batik setiap Khamis.

Katanya, langkah itu juga seiring gaya santai ditonjolkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memakai lounge suit tanpa tali leher.

“Budaya tidak memakai tali leher Kerajaan Perpaduan menjadi tumpuan selepas Jemaah Menteri mengikut gaya santai Perdana Menteri.

“Saya tiada halangan dalam isu ini dan menerima usul yang berkehendakkan menangguh atau menggantung penguatkuasaan peraturan dewan.

“Saya berpandangan memakai tali leher dan baju batik berlengan panjang tidak akan menjejas prestasi dan keterampilan para Adun sebagai wakil rakyat, apa yang berlaku di peringkat Persekutuan wajar dicontohi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Pertama Penggal Kedua DUN Melaka Ke-15, hari ini.

Ketika sesi pengundian, seramai 24 Adun menyokong usul berkenaan, dua berkecuali dan dua tidak hadir.

Pada 19 Disember lalu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul memaklumkan Ahli Parlimen yang hadir pada hari kedua persidangan Dewan Rakyat, dikecualikan daripada memakai tali leher.

Mengikut Panduan Pakaian Di Dalam Dewan Persidangan dalam portal Parlimen.gov.my, individu lelaki yang memasuki Parlimen perlu mengenakan kot, kemeja lengan panjang, bertali leher dengan digalakkan berwarna gelap.

Mereka juga boleh memakai pakaian kebangsaan atau tradisional yang lengkap dengan kasut kulit bertutup atau lain-lain kasut yang sejenis dengannya dan berwarna gelap serta berstoking. – Malaysiapost

Komen