Enam nyaris maut, 9 kenderaan kemalangan di plaza tol 

Enam nyaris maut, 9 kenderaan kemalangan di plaza tol 

ENAM lelaki cedera dalam kemalangan membabitkan sembilan kenderaan di susur masuk Plaza Tol Simpang Pulai, di Ipoh, hari ini. 

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, nahas yang berlaku pada pukul 2.34 petang itu membabitkan masing-masing tiga kenderaan pelbagai guna (MPV), lori tiga tan, sebuah treler dan dua lori dua tan.

“Semua mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai dengan dibantu oleh BBP Gopeng digerakkan ke lokasi bagi operasi menyelamat yang berakhir jam 4.10 petang.

“Bomba yang tiba di tempat kejadian melakukan kerja menyelamat menggunakan peralatan khas,” katanya.

Difahamkan kemalangan itu menyebabkan sebahagian daripada fasiliti di susur keluar plaza tol terbabit rosak termasuk palang penghadang yang turut musnah. 

Kejadian berlaku apabila salah sebuah lori merempuh belakang lori yang lain sekali gus menyebabkan ia menggelungsur ke hadapan serta melanggar tujuh kenderaan lain. – Malaysiapost

Komen