Jangan cemari Hari Wanita dengan agenda songsang – Khairuddin

Jangan cemari Hari Wanita dengan agenda songsang – Khairuddin

PERARAKAN Hari Wanita Ahad lalu, tidak wajar dicemari agenda yang bercanggah dengan agama Islam apatah lagi menuntut menghalalkan perlakuan seks songsang.

Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama Umno, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, budaya dan undang-undang negara tidak membenarkan perkara yang bertentangan dengan fitrah manusia seperti membudayakan seks songsang.

“Perjuangan yang baik seperti desakan menghentikan semua jenis keganasan berdasarkan jantina sangat dialu-alukan.

“Namun, perakan sempena Hari Wanita tidak wajar dicemari dengan mesej tuntutan yang bercanggah dengan agama Islam, budaya setempat apatah lagi undang-undang negara.

“Sebarang mesej untuk menghalalkan perlakuan seks songsang adalah satu usaha nornalisasi yang tidak wajar dilakukan dan dibiarkan berleluasa,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Bekas pemimpin PAS itu menegaskan, tiada agama yang menghalalkan hubungan seks songsang, apatah lagi Malaysia yang agama rasminya ialah Islam.

“Paksi bagi negara Malaysia ialah Islam. Rukun Negaranya ialah kepercayaan kepada Tuhan. Tiada masyarakat beragama yang menghalalkan hubungan seks songsang, apatah bagi negara seperti Malaysia.

“Tindakan segera oleh pihak berkuasa menyiasat perarakan ini sangat-sangat dialu-alukan sebagai mesej sikap rasmi negara kepada rakyat Malaysia dalam perkara seumpama ini,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya mengeluarkan kenyataan bahawa penganjur perhimpunan itu akan dipanggil untuk disoal siasat berhubung perakan yang diadakan di hadapan Kompleks Sogo dan Dataran Merdeka di Kuala Lumpur.

Kira-kira 150 orang terdiri aktivis hak asasi (NGO), mahasiswa dan ahli parti politik menyertai perhimpunan tersebut sambil memegang plakad, antaranya ‘Imagine If Men Are As Disgusted With Rape As With Periods, Child Not Bride, Trans Women Are Woman, Police Your Behaviour Not My Body’ dan lain-lain lagi. – Malaysiapost

Komen