Jom Ziarah Gereja tak libatkan belia Islam – Hannah Yeoh
PROGRAM Jom Ziarah Gereja yang dikendalikan syarikat Impact Integrated tidak melibatkan belia Islam, tegas Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Menurutnya, program itu juga bukan bertujuan untuk memberi gambaran semua agama yang dianuti rakyat Malaysia adalah sama rata.
“Projek Jom Ziarah yang diusahakan oleh Impact di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bukan untuk menyamaratakan kedudukan mana-mana agama, bukan berniat beri gambaran semua agama adalah sama sebagaimana dakwaan dan anggapan setengah-setengah pihak.
“Jom Ziarah adalah usaha untuk mengenali perbezaan agama yang ada dalam kalangan kita.
“Ia usaha kita melihat untuk membezakan dan supaya dengan cara itu masyarakat Malaysia yang berbilang agama dan bangsa boleh hidup rukun damai, lebih harmoni dan lebih tolerasi,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Hannah berkata, sebagai bekas Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Selangor dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Subang Jaya beliau faham Perlembagaan Malaysia mengenai kedudukan agama Islam.
Hannah turut menegaskan, beliau faham penyebaran agama Kristian kepada penganut Islam adalah salah dari sudut perundangan.
“Sebagai mantan Speaker DUN Selangor, Adun Subang Jaya selama 10 tahun, saya tahu undang-undang yang melarang evangelism
“Menfitnah saya menggunakan agensi di bawah KBS adalah tuduhan melampau dan mahu menjadikan saya sebagai punching beg untuk menutup salah laku pemimpin mereka. Saya bukan cakap pasal PAS, saya cakap pasal Bersatu yang tuduh saya di luar sana.
“Saya ahli DAP, saya tahu dan memahami Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf Islam agama bagi Persekutuan,” katanya.
Baru-baru ini, tular poster Impact Malaysia yang mengajak belia bukan Kristian untuk menyertai program Jom Ziarah ke sebuah gereja di Klang, Selangor, Sabtu ini. – Malaysiapost