Kerugian akibat banjir di Johor RM168 juta
KERAJAAN Johor dianggar mengalami kerugian kira-kira RM168 juta akibat kerosakan beberapa jalan dan infrastruktur susulan banjir teruk baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, anggaran awal itu telah dinilai Jabatan Kerja Raya setakat minggu lalu, selepas mendapat akses ke beberapa kawasan terjejas banjir.
Menurutnya, kerajaan negeri telah membuat permohonan bagi mendapatkan peruntukan membaik pulih infrastruktur yang rosak kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun, katanya, anggaran kerugian itu tidak termasuk pasca banjir.
“Kita (kerajaan negeri) juga telah menyediakan dan memberi satu kertas kepada Perdana Menteri melalui kerajaan negeri, tetapi anggaran kerugian itu tidak termasuk selepas banjir.
“Jika dilihat semula hanya beberapa tempat sahaja kita boleh akses, jadi buat sementara ini apa yang dapat dianggarkan ialah RM168 juta.
“Jumlah itu sudah pasti akan berlaku pertambahan sebaik sahaja banjir surut,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Perasmian dan Penyerahan Projek Menaiktaraf Jalan Utama Gelang Patah – Ulu Choh (J7) di Taman Nusantara, hari ini.
Mohamad Fazli berkata, pihaknya turut menerima laporan kerosakan lain termasuklah cerun, jambatan, bekalan elektrik dan air seperti paip air yang bengkok dan patah serta tiang elektrik hampir tumbang. – Malaysiapost