Komitmen, kerja keras jadi taruhan Isham dipilih jadi MKT Umno

Komitmen, kerja keras jadi taruhan Isham dipilih jadi MKT Umno

SAYA tidak mampu tawar wang ringgit atau berjanji jawatan apa-apa kepada tuan-tuan dan puan-puan, demikian kata Isham Jalil. 

Ketua Penerangan Umno itu meluahkan perasaannya menjelang hari pengundian pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang akan berlangsung Sabtu ini. 

Menurut Isham, beliau mempertaruhkan komitmen dan kerja kerasnya terhadap parti untuk dipilih oleh perwakilan Umno bagi membarisi senarai 25 Ahli MKT nanti. 

“Apa yang saya mampu tawarkan ialah komitmen saya terhadap perjuangan kita selama ini seperti yang telah saya lakukan selama beberapa tahun sejak kita kalah pilihanraya dan hilang kuasa pada tahun 2018 dengan ikhtiar dan sumber saya sendiri walaupun tanpa apa-apa balasan, peruntukan atau gaji. 

“Pengorbanan ini saya lakukan sebab saya yakin perjuangan kita ini masih jauh dan banyak perubahan yang perlu kita buat supaya parti kita diterima semula oleh rakyat,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini. 

Isham turut mengakui faktor itu yang menyebabkan beliau tidak tersenarai dalam senarai calon pilihan MKT Umno seperti yang tular di aplikasi media sosial, hari ini. 

Bagaimanapun, Isham enggan menjadikan situasi itu melemahkan semangatnya dan masih menaruh kepercayaan kepada kebijaksanaan perwakilan Umno dalam memilih barisan MKT yang terbaik pada pemilihan Umno 2023 ini. 

“Hari ini tular satu cai (papan) pilihan calon Ahli Majlis Kerja Tertinggi bagi pemilihan kali ini oleh pihak tertentu kepada perwakilan di akar umbi. Nama saya tidak ada dalam cai tersebut. Tidak mengapa, saya tidak boleh paksa sesiapa untuk masukkan nama saya dalam cai atau papan mereka. 

“Namun kepada akar umbi Umno yang masih ingin mengundi saya, mohon ingat nombor calon saya iaitu nombor 36 semasa di peti undi nanti, sebab nombor ini mungkin tidak ada dalam senarai cai yang disebarkan kepada anda,” katanya. 

Apa pun, menurut Isham, beliau akan terus istiqamah berjuang dan bekerja keras untuk Umno meski pun apa jua keputusan yang ditakdirkan kepadanya Sabtu ini. 

“Kalah atau menang saya serah kepada tuan-tuan dan puan-puan dan kepada ketentuan Allah SWT. 

“Jika saya berjaya, saya akan teruskan perjuangan bersama tuan-tuan dan puan-puan dalam kepimpinan parti. 

“Namun jika saya tidak berjaya, saya pohon supaya tuan-tuan dan puan-puan agar tetap teruskan perjuangan bersama kepimpinan parti dan majlis tertinggi, saya akan bantu dan sokong walaupun tidak berada dalam kepimpinan parti. 

“Jangan patah semangat dan terus istiqamah dalam perjuangan,” katanya. – Malaysiapost

Komen