Kos meningkat: Kerajaan masih kaji kadar bayaran haji

Kos meningkat: Kerajaan masih kaji kadar bayaran haji

KERAJAAN sedang mengkaji kadar bayaran haji musim ini berikutan jangkaan kos meningkat sehingga RM30,850 bagi setiap jemaah Muassasah berbanding RM28,632 seorang tahun lalu.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mohd Nai’im Mokhtar, berkata penetapan kadar bayaran haji yang mengambil kira kenaikan kos disebabkan beberapa faktor akan dimaklumkan Lembaga Tabung Haji (TH) selepas ia dimuktamadkan.

Beliau berkata peningkatan kos haji tidak dapat dielakkan kerana ia terdedah kepada faktor di luar kawalan TH termasuk kadar tukaran mata wang Ringgit Malaysia berbanding Saudi Riyal dan Dollar Amerika.

Beliau berkata, peningkatan kos haji juga disumbangkan kadar inflasi dan percukaian di Arab Saudi, projek pembesaran berterusan di Makkah dan Madinah yang menyebabkan banyak bangunan penginapan jemaah haji dirobohkan dan memberi tekanan kepada pasaran harga sewaan.

Katanya, selain caj dikenakan pihak berkuasa Arab Saudi bagi pelbagai perkhidmatan yang disediakan untuk kebajikan dan keselesaan jemaah haji di Tanah Suci turut menjadi faktor kepada peningkatan kos haji.

Mohd Nai’im berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera).

Ismail Sabri meminta Perdana Menteri menyatakan apakah langkah serta bantuan disediakan kerajaan bagi menampung peningkatan mendadak kos untuk mengerjakan ibadah haji dan umrah yang mampu memberi kesan secara terus terhadap mereka yang beragama Islam.

Mohd Nai’im berkata, TH akan meneruskan Bantuan Kewangan Haji bagi membantu jemaah Muassasah yang menunaikan haji buat pertama kali dan kurang pendapatan untuk mencukupkan perbelanjaan tunai haji mereka.

Beliau berkata, ia bersesuaian dengan peranan TH mentadbir semua urusan berkaitan pengendalian dan kebajikan jemaah haji Malaysia.

“Pada 2022, TH melaksanakan pemberian Bantuan Kewangan Haji secara bersasar mengikut kategori jemaah haji Muassasah dalam kumpulan B40 dan bukan kumpulan B40.

“Bantuan ini dibiayai sepenuhnya oleh TH melalui pendapatan pelaburannya,” katanya.

Mohd Nai’im berkata berbanding kos sebenar tunai haji RM28,632 seorang tahun lalu, jemaah haji kumpulan B40 mendapat Bantuan Kewangan Haji sebanyak RM17,652 seorang (iaitu 62 peratus daripada kos) dan hanya perlu membayar RM10,980 seorang.

Manakala jemaah haji kumpulan bukan B40 pula hanya perlu membayar RM12,980 seorang yang mana Bantuan Kewangan Haji mereka adalah 55 peratus daripada kos menunaikan haji yang sebenar.

Mengulas isu umrah, Mohd Nai’im berkata 17 Oktober 2021 MOTAC mengeluarkan harga panduan kepada orang ramai sebagai rujukan iaitu sebanyak RM6,900.

Beliau berkata faktor-faktor penetapan harga itu adalah bilangan kapasiti di dalam bilik penginapan di Arab Saudi, kapasiti pergerakan pengangkutan yang membenarkan 50 peratus dari jumlah kapasiti sebenar dan pengurusan mutawif serta ujian swab Covd-19.

“Harga ini adalah sebagai panduan secara umum kepada rakyat dalam memilih syarikat yang menawarkan harga pakej dalam mengerjakan umrah.

“Pada dasarnya harga pakej umrah bukanlah di bawah kawalan MOTAC. Ia ditentukan oleh kuasa pasaran semasa. Jemaah umrah boleh merujuk harga panduan yang telah dikeluarkan oleh pihak persatuan.

“Dalam pada itu tiada bantuan khusus disediakan kerajaan bagi menampung peningkatan kos pengerjaan umrah.

“Namun yang demikian MOTAC sentiasa mengambil inisiatif secara kerjasama dengan kementerian/agensi berkaitan bagi memperhalusi perkara berkaitan hal ehwal umrah,” katanya. – Malaysiapost

Komen