Lelaki serang Kamal Adli didakwa hari ini
LELAKI yang menyerang pelakon, Kamal Adli dalam kejadian di Singgapura kelmarin akan dihadapkan ke mahkamah republik itu, hari ini.
Menurut Polis Singapura (SPF), lelaki berusia 33 tahun itu akan dituduh di mahkamah kerana disyaki terbabit dalam kes menyebabkan kecederaan dengan sengaja menggunakan senjata berbahaya.
“Kesalahan menyebabkan kecederaan dengan sengaja menggunakan senjata berbahaya di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda, rotan, atau mana-mana kombinasi hukuman itu, jika sabit kesalahan,” kata SPF dalam satu kenyataan, malam tadi.
Sebelum itu, SPF berkata, pihak polis menerima panggilan mengenai satu kes di Ekspo Singapura pada jam 9.19 malam Ahad, di mana suspek telah memukul seorang lelaki berusia 36 tahun menggunakan cota di lokasi itu.
“Cota itu dirampas dan dijadikan barangan kes dengan siasatan masih diteruskan,” katanya..
SPF berkata, pihaknya mengamalkan sifar toleransi terhadap apa-apa tindakan keganasan dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar undang-undang.
Kamal, 36, yang mengalami kecederaan terpaksa menjalani pembedahan di sebuah hospital di Singapura, semalam.
Isterinya, Uqasha Senrose berkata, kejadian berlaku di akhir sebuah acara, tetapi tidak memberikan butiran apa yang menyebabkan suaminya itu diserang. – Malaysiapost