Mengapa jadi begini, tanya Rafidah Aziz

Mengapa jadi begini, tanya Rafidah Aziz

VETERAN politik, Tan Sri Rafidah Aziz menzahirkan rasa kecewa terhadap situasi semasa negara terutama membabitkan salah laku sehingga Malaysia tidak lagi dihormati dengan menulis gurindam.

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu menyifatkan haluan negara kini juga mula melelong akibat salah laku dan pembohongan pimpinan tertentu.

Menurutnya, apabila hanya wang dan harta yang diidamkan, halal atau haram tidak dipedulikan walaupun duit rakyat dicuri.

Dan kini, katanya, mahkamah berderet-deret dengan pelbagai kes dan penjara mula melambai disebabkan prinsip, maruah diri sudah digadai.

Menerusi gurindam itu, beliau berharap generasi muda menebus kembali nama baik negara supaya Malaysia kembali dihormati dan menjadi contoh di peringkat antarabangsa.

Berikut adalah gurindam penuh Rafidah:

Mengapa jadi begini?

Mengapa negaraku diharungi masalah
Dicemar, dimalukan, oleh mereka yang bersalah
Kerana nila beberapa titik, rosak susu sekawah
Kesannya rakyat berpecah-belah.

Mengapa haluan negaraku mula melelong
Oleh unsur-unsur lakuan salah, menipu dan bohong
Rakyat keluh kesah, masa depan direnung
Budaya masyarakat, urus tadbir sudah terpesong

Bila hanya wang dan harta sentiasa diidami
Tidak kira halal, haram, walaupun dicuri
Wang rakyat sekali pun, dianggap hak sendiri
‘Wang itu Raja’ dijadikan asas, dan niat di hati

Mahkamah berderet dengan kes pelbagai tempat tahanan
Dan penjara mula melambai,
Kerana terpesong sudah prinsip dan nilai
Maruah diri sudah sanggup dijual, digadai

Tidak tertekankah hati nurani?
Tidakkah terasa kesal dalam diri?
Dunia mengetahui, mencemuh, memerhati
Malunya kita rakyat negara tercinta ini

Dulu Malaysia dihormati, dipandang tinggi
Kejayaan-kejayaan negara kita diketahui, dicontohi
Sebuah dari ‘Harimau ASEAN” dunia mengakui
Itulah Malaysia yang generasiku mengetahui

Wahai anak cucu, generasi muda
Tebuslah kembali nama baik negara kita
Lakukanlah yang terbaik, cemerlang yang terdaya
Supaya Malaysia di hormati, dicontohi semula

Apa yang berlaku seperti igauan mimpi ngeri
Ditimpa masalah, dan perbuatan-perbuatan tidak direstui
Kesemuanya itu tidak boleh dibiarkan lagi
Bersama-samalah kita tentukan haluan negara ini

Kepada Tuhan kita sama-sama rafakkan mohon doa
Haluan negara dapat diperbetul arah tujuannya
Nilai-nilai dan prinsip hidup, kita nilai semula bersama
Supaya kompas negara kita betul haluannya – Malaysiapost

Komen