‘Orang atas’ desak percepat tuduhan terhadap Muhyiddin? – Wan Fayhsal

‘Orang atas’ desak percepat tuduhan terhadap Muhyiddin? – Wan Fayhsal

TEKANAN yang diberikan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Bersatu ketika ini adalah berniat untuk melumpuhkan parti itu dan Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata disebabkan itu Muhyiddin dan Bersatu kini dituduh di bawah pengubahan wang haram (AMLA).

“Kenapa TSMY (Muhyiddin) dan Bersatu dituduh di bawah AMLA? Apakah ianya berniat untuk lumpuhkan Bersatu/PN untuk berdepan PRN enam negeri?, katanya menerusi Facebook.

Ahli Parlimen Machang itu berkata, sedangkan parti lain terutama Umno sejak ‘zaman-berzaman’ turut menerima sumbangan politik daripada Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.

“Begitu juga parti-parti dalam PH pasti terima dana daripada syarikat, tauke – ada juga terima dana asing. Mengapa mereka tidak disiasat? Tiada satu parti di Malaysia ini tidak menerima sumbangan politik,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Fayhsal mempersoalkan bagaimana proses pendakwaan terhadap Muhyiddin sudah dikeluarkan sedangkan siasatan kes masih belum lengkap kerana kekurangan dokumen.

“Macam mana siasatan tak lengkap, dokumen tak cukup tapi dah keluar keizinan untuk dakwa Muhyiddin?

“TSMY (Muhyiddin) jelaskan pegawai-pegawai SPRM yang siasat beliau pun mengeluh sebab ‘ada orang atas tekan, desak’ percepatkan, betulkah?

“Kenapa kes-kes yang dah lengkap seperti kapal tempur pesisir (LCS) tidak didakwa mereka yang ada kuasa putuskannya seperti dalam laporan PAC? Ajaib! Ini pendakwaan terpilih!,” katanya.

Semalam, Muhyiddin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas satu pertuduhan terbabit aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM5 juta, awal tahun lalu.

Muhyiddin atau nama sebenarnya Mahiaddin Md Yasin, 76, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Ia adalah kali kedua Presiden Parti Bersatu dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu dihadapkan ke mahkamah.

Jumaat lalu, beliau mengaku tidak bersalah terhadap enam pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan RM232.5 juta. – Malaysiapost

Komen