Orang Kedah ramai bercerai tahun lepas
RAMAI pasangan suami isteri beragama Islam di Kedah bercerai pada tahun lepas, kata Datuk Halimaton Shaadiah Saad.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Kedah itu berkata, kes perceraian melibatkan pasangan beragama Islam di negeri itu meningkat sebanyak 23 peratus iaitu 3,245 kes pada 2022 berbanding 2,586 kes, tahun sebelumnya.
Jelasnya, daerah Kuala Muda mencatatkan kes tertinggi sebanyak 745 kes diikuti Kota Setar (485) dan Kubang Pasu (378) pada tahun lepas.
“Sebanyak 13,101 kes dicatatkan dalam tempoh empat tahun sejak 2019. Oleh itu di bawah portfolio saya, kita mengadakan program Raikan Cinta sebagai salah satu usaha menangani perkara ini.
“Program ini dapat memberi pendedahan kepada pasangan tentang ilmu perkahwinan, ilmu keagamaan dan tanggungjawab yang perlu dipikul sebagai seorang suami dan isteri bagi mengekalkan keharmonian dan keutuhan rumah tangga,” katanya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, di Alor Setar, hari ini.
Halimaton berkata, program Raikan Cinta telah dilaksanakan sebanyak dua kali dan akan diteruskan lagi berikutan sambutan penyertaan yang diterima sangat tinggi.
“Ini menunjukkan bahawa matlamat program ini telah tercapai bagi membantu pasangan dalam membina keluarga yang sakinah, warahmah dan mawaddah,” katanya.
Jelasnya, pejabat Pembangunan Wanita Negeri Kedah sentiasa mengadakan program advokasi bagi meningkatkan pengetahuan para wanita berkenaan hak- hak pembelaan dalam undang-undang. – Malaysiapost