Pendekkan tempoh penyelesaian kes syariah – Mohd Na’im

Pendekkan tempoh penyelesaian kes syariah – Mohd Na’im

PENGAMAL undang-undang syariah diminta mencari kaedah bagi memendekkan tempoh masa penyelesaian kes.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, kes yang mengambil masa terlalu lama dibimbangi akan menimbulkan kezaliman kepada mereka yang terlibat.

“Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Mahkamah Syariah dan peguam syarie perlu mencari idea bagaimana mahu pastikan supaya tempoh penyelesaian suatu kes itu dapat dipendekkan.

“Lagi panjang kes itu berlarutan, ia akan menyebabkan kezaliman kepada pihak-pihak dan peranan ini bukan sahaja perlu dimainkan oleh mahkamah tetapi juga peguam syarie.

“Jangan ada usaha untuk melambat-lambatkan penyelesaian kes itu sebab akan ada pihaknya yang teraniaya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program Konsultasi Guaman Syarie Percuma sempena Ramadan yang dianjurkan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).

Program Konsultasi Percuma itu akan dikendalikan lebih 200 orang Panel-Panel Peguam Syarie Program Bantuan Guaman Syarie (Bagus), PGSM di seluruh negara.

Program itu akan bermula 27 Mac ini sehingga 20 April antara pukul 10 pagi hingga pukul 1 petang dari hari Isnin hingga Khamis.

Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata, pengembelengan kerjasama semua pihak diperlukan dalam memastikan matlamat itu tercapai tetapi dalam masa sama tidak memprejudiskan keadilan.

“Jadi kena pandai imbangkan antara bagaimana nak mempercepatkan kes tapi dalam masa sama tidak memprejudiskan isu keadilan,” katanya.

Sementara itu, mengenai isu peningkatan kos haji dan umrah, beliau berkata akan ada pengumuman berkenaan perkara itu kelak. – Malaysiapost

Komen