Pengimport telur gagal saman Ka Siong

Pengimport telur gagal saman Ka Siong

TINDAKAN syarikat pengimport telur yang ingin menyaman Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong susulan kenyataannya semasa sidang Dewan Rakyat Februari lalu, tidak berhasil.

Ka Siong berkata, menerusi satu surat yang diterima daripada Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul menyatakan sebarang ucapan yang dibuat oleh Ahli Parlimen ketika sidang berkenaan adalah terlindung di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Terima kasih Speaker yang menjawab surat saya dan mempertahankan hak ahli Parlimen bersuara. Saya akan terus mengangkat suara majmuk rakyat Malaysia,” katanya menerusi Facebook.

Menerusi surat balas berkenaan, Johari memaklumkan bahawa Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan perlindungan kepada Ahli Parlimen berhubung apa-apa jua yang dikatakan semasa mengambil bahagian dalam prosiding Majlis Parlimen atau mana-mana jawatankuasanya.

“Sehubungan itu, apa-apa ucapan yang dibuat oleh ahli Parlimen dalam mesyuarat Majlis Parlimen adalah terlindung di bawah Perlembagaan Persekutuan dan tiada prosiding di mana-mana mahkamah boleh diambil terhadap ahli Parlimen berhubung apa-apa jua yang dikatakan,” menurut surat berkenaan.

Pada 2 Mac lalu, Presiden MCA itu memaklumkan menerima dua surat saman daripada pengimport telur susulan kenyataan mengenai isu kekurangan telur yang dibangkitkannya di Dewan Rakyat.

Tegas Ka Siong, perkara itu tidak akan menghalangnya daripada terus bersuara demi kepentingan rakyat di Parlimen, selain akan menyerahkan kepada peguamnya untuk tindakan lanjut. – Malaysiapost

Komen