Peranan Ketua Pembangkang di Selangor mesti diberi pada PN – Azmin
UMNO diminta untuk melepaskan jawatan ketua Pembangkang di Selangor kepada Perikatan Nasional (PN) yang mahu memastikan Dewan Undangan Negeri (DUN) berfungsi lebih efektif.
Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata ia kerana Umno sudah bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) – DAP membentuk kerajaan.
“Saya juga mendapat petua dari Speaker mengenai kedudukan Ketua Pembangkang Dewan Negeri Selangor yang masih dipegang oleh YB Sungai Air Tawar dari Umno.
“Senario politik hari ini Umno sudah bersama PH-DAP. Maka, peranan Ketua Pembangkang mesti diberikan kepada PN yang mahu memastikan Dewan Negeri Selangor berfungsi lebih efektif demi kemaslahatan rakyat Selangor.
“Speaker dari DAP akan memberi petua kemudian,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Sementara itu, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim turut senada apabila menggesa Umno melepaskan jawatan Ketua Pembangkang di Selangor dan membiarkan PN menjalankan tugas tersebut.
Menurutnya, Umno sudah menyertai Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bukan lagi sebagai pembangkang di negeri itu.
“Saya dengar cerita di Selangor, Umno ada lima kerusi, PN ada tujuh kerusi tetapi Ketua Pembangkang tidak mahu berhenti sebab dia ingat Umno masih pembangkang padahal Umno kerjasama dengan PH.
“Dia kena berhenti dan bagi PN yang jadi Ketua Pembangkang di Selangor,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika perbahasan sesi penggulungan Kementerian Belia dan Sukan di peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini.
Hari ini, kerajaan negeri Selangor mengesahkan pihaknya belum menerima surat peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Tawar, Datuk Rizam Ismail sebagai ketua pembangkang negeri setakat ini.
Perkara itu disahkan Speaker Dewan Negeri Selangor, Ng Suee Lim.
Terdahulu, Azmin yang merupakan ADUN Bukit Antarabangsa, mencadangkan agar ADUN Sijangkang, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi yang mewakili PN dilantik sebagai Ketua Pembangkang Selangor yang baharu.
Cadangan itu dibuat susulan Rizam yang juga ADUN Sungai Tawar daripada Barisan Nasional kini menjadi sebahagian kerajaan negeri selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan pada peringkat pusat. – Malaysiapost