Persepsi masyarakat lihat PM campur tangan – Tuan Ibrahim

Persepsi masyarakat lihat PM campur tangan – Tuan Ibrahim

DAKWAAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat campur tangan terhadap pertuduhan membabitkan tokoh-tokoh politik ternama hanyalah persepsi masyarakat.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, persepsi itu akan berubah sekiranya kerajaan dilihat adil dalam pendakwaan yang bukan sahaja melibatkan pemimpin pembangkang tetapi juga pemimpin kerajaan.

“Saya lihat apa yang penting bukan sahaja kenyataan tetapi persepsi masyarakat bila pendakwaan kepada pembangkang sahaja tetapi pada masa sama isu yang melibatkan kerajaan ditimbulkan dalam Parlimen.

“Isu pembinaan kapal LCS (kapal tempur persisir) sebagai contoh dan kes-kes yang berlaku di mahkamah, orang tanya bila nak mula. Bahkah kes ini jauh lebih awal daripada itu lagi.

“Saya bukan nak pertikai tetapi persepsi itu tidak boleh lihat melainkan kerajaan dilihat berlaku adil kepada semua,” katanya di Lobi Parlimen hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Anwar yang menggesa mana-mana pihak tampil memberi bukti sekiranya benar beliau campur tangan terhadap pertuduhan mahkamah ahli politik.

Perdana Menteri menegaskan, sekiranya tiada bukti maka itu adalah tuduhan dan fitnah dibuat pihak tertentu terhadap beliau.

Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, rakyat dilihat akan menilai Perdana Menteri menerusi sentimen yang berbeza sekiranya persepsi berkenaan dapat diubah.

Sementara itu, mengenai misi Perikatan Nasional (PN) di Turkiye baru-baru ini, beliau yang baru pulang dari negara itu memaklumkan, mangsa gempa bumi masih memerlukan bantuan terutamanya tempat penginapan.

Beliau berkata, rumah sementara daripada kontena antara yang diperlukan mangsa berikutan kediaman yang musnah sama sekali.

Tuan Ibrahim berkata, sebuah rumah kontena memerlukan kos RM30,000 dan menyasarkan kutipan RM3 juta yang dijangka dihantar selepas Hari Raya Aidilfitri. – Malaysiapost

Komen