Pinjaman MARA perlu bebas riba – Asyraf Wajdi
PENGERUSI Amanah Rakyat (MARA) yang baharu, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan aspek keberkatan dalam pembiayaan yang disediakan agensi itu akan menjadi fokus utamanya.
Bekas Ketua Pemuda Umno itu berkata, beliau akan membantu MARA beralih kepada pembiayaan yang menepati kehendak syariah, selain lebih cekap dan tidak membabitkan kos yang tinggi.
Katanya, antara pembaharuan yang akan dilakukan itu termasuklah memastikan pembiayaan MARA yang digunakan untuk penciptaan kekayaan Bumiputera, bebas riba.
“Memandangkan sektor ini (pembangunan usahawan) amat penting dalam penciptaan kekayaan bangsa, maka saya tekankan aspek keberkatan. Antara punca keberkatan termasuklah kaedah pembiayaan mestilah bebas daripada syubhah riba.
“Ketika ini kaedah pembiayaan masih lagi menggunakan prinsip ‘bai al-Inah’ yang agak kontroversi dan sudah lama ditinggalkan oleh industri perbankan Islam.
“Situasi ini mengingatkan saya ketika membantu menstrukturkan kembali kaedah pinjaman, pembiayaan dalam industri kewangan Islam daripada prinsip ‘bai al-inah’ kepada ‘tawarruq’, ‘murabahah’, ‘qard al-Hasan’ dan kontrak lain,” katanya menerusi Facebook.
Asyraf Wajdi berkata, beliau sedia membantu MARA untuk beralih kepada pembiayaan yang lebih cekap, tidak membabitkan kos yang tinggi dan menepati kehendak syariah dalam tempoh terdekat.
Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan ASyraf Wajdi dilantik sebagai Pengerusi MARA yang baharu, berkuat kuasa Jumaat lalu. – Malaysiapost