PM ulangi pendirian tak laksana GST
KERAJAAN tidak akan memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dalam masa terdekat kerana pendapatan minimum rakyat di negara ini masih lagi rendah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagaimanapun cukai itu boleh dipertimbangkan sekiranya pendapatan rakyat meningkat.
“Kita belum bersedia kerana tahap pendapatan rakyat masih lagi rendah. Jadi saya tidak fikir dalam enam bulan atau setahun kita boleh pertimbangkan, pendapatan rakyat perlu naik dulu.
“Semua negara yang melaksanakan GST termasuk Singapura, Kanada dan New Zealand, itu dikira berdasarkan pendapatan minimum rakyat munasabah untuk hidup.
“Sekarang masih terlalu ramai… 150,00 miskin tegar dan B40 ramai, jadi buat masa ini kita tidak boleh pertimbangkan GST pada masa sekarang,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (PN-Tanjung Karang) sama ada kerajaan akan memperkenalkan semula GST atau sebaliknya dan pendekatan kerajaan untuk mengurangkan beban rakyat.
Perdana Menteri menjelaskan cukai keuntungan modal dan barang mewah sudah memadai untuk pendapatan bertambah selain langkah tegas mengelakkan kebocoran pembayaran cukai.
“Bila saya ke Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) saya bagi tahu, selalunya tauke maha kaya ini elak bayar cukai dan ada perlindungan… ini bukan perkara baharu.
“Jadi saya beritahu, kita jangan bertolak ansur dalam memastikan orang maha kaya juga membayar cukai, jangan melarikan wang mereka ke luar negara.
“Sebab itu saya arahkan semua siasatan dilakukan termasuk Pandora Papers, tapi Yang Berhormat Tasek Gelugor pertahankan pelari curi kerana kes lama, saya tak peduli kes baharu atau lama, kalau kamu tipu atau rasuah atau curi wang negara, bayar balik,” katanya. – Malaysiapost