Polis panggil Muhyiddin dakwaan fitnah terhadap PM
PRESIDEN Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan dipanggil polis bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, pihaknya kini dalam proses untuk memanggil Muhyiddin serta saksi-saksi berkaitan.
“Siasatan kini sedang dijalankan dan usaha untuk menghubungi Muhyiddin dan beberapa saksi lain sedang dilakukan.
“Ada yang sudah dihubungi dan ada yang masih dalam proses tindakan (akan dihubungi), namun ketika ini kebanyakan mereka terbabit dalam sesi sidang Parlimen,” katanya seperti dilapor BH.
Semalam, polis membuka satu kertas siasatan terhadap Muhyiddin yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap Perdana Menteri.
A Asmadi dilaporkan berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan iaitu fitnah.
Menurutnya, siasatan dijalankan susulan laporan polis dibuat oleh Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim terhadap Muhyiddin.
Laporan polis itu berhubung satu video tular di media sosial berkaitan sidang media Muhyiddin selepas beliau didakwa di Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
A Asmadi menjelaskan, siasatan dilakukan atas kandungan kenyataan Muhyiddin dalam video berdurasi 11 minit 11 saat yang dikatakan mempunyai unsur fitnah.
Katanya, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – Malaysiapost