Polis panggil penganjur himpunan LGBT

Polis panggil penganjur himpunan LGBT

POLIS telah merekod keterangan enam individu kelmarin, bagi membantu siasatan berhubung perarakan sekumpulan individu yang mencetuskan kontroversi di ibu negara, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, berkata kesemua individu berusia 28 hingga 42 tahun itu terdiri daripada lima wanita dan seorang lelaki.

“Mereka hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi semalam untuk direkod keterangan mengenai perarakan terbabit.

“Kesemua individu itu melibatkan dua penganjur serta empat peserta,” katanya seperti dilapor, Sinar Harian.

Beliau berkata, polis mungkin akan memanggil beberapa lagi individu bagi melengkapkan siasatan berkenaan.

Sebelum ini, satu perarakan yang dipercayai berunsur agenda lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) berlangsung di hadapan Kompleks Sogo dan Dataran Merdeka pada 12 Mac lalu.

Menerusi video tular di media sosial, kira-kira 150 orang terdiri daripada aktivis hak asasi, mahasiswa dan ahli parti politik menyertai perhimpunan terbabit.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menegaskan sebarang usaha mempromosi serta menormalisasikan gaya hidup songsang yang bercanggah nilai Islam dan fitrah insan tidak boleh diterima sama sekali di negara ini.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bekerjasama dengan polis untuk menjalankan siasatan terhadap perhimpunan di hadapan Sogo baru-baru ini. – Malaysiapost

Komen