Program Jom Ziarah Gereja perlu disertai agamawan, Jakim
PROGRAM Jom Ziarah Gereja dan rumah ibadat anjuran badan bukan kerajaan (NGO), Impact Malaysia perlu disertai agamawan termasuk pegawai dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, program berkenaan bukan tidak baik, namun penyertaan golongan agamawan penting kerana program seperti itu boleh menimbulkan isu.
“Program ini bukan satu perkara yang tidak baik dari segi asas tetapi perlu disertakan dengan penyertaan daripada golongan agamawan seperti dengan Jakim, panel syariah dan sebagainya.
“Kerana ada isu kalau kita bawa belia khususnya beragama Islam walaupun tujuan asalnya adalah untuk mengenali antara agama satu sama lain, ini boleh mencetuskan kebimbangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam perbahasan Belanjawan 2023 Peringkat Jawatankuasa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Dewan Rakyat, hari ini.
Ahmad Fadhli berkata, program NGO di bawah kawal selia KBS itu menambahkan sangkaan buruk selepas pihak berkenaan membuang poster yang mempromosikan program tersebut di media sosial, Impact Malaysia.
“Sebab itulah saya dapati iklan dalam media sosial rasmi Impact Malaysia ini untuk mempromosikan program ke gereja pada 18 Mac ini tetapi telah diturunkan.
“Bermakna ada satu benda yang mungkin tidak sesuai, tidak kena pada pandangan masyarakat dan sebagainya,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Fadhli menyarankan kepada KBS untuk memantau aktiviti NGO yang mendapat dana daripada kementerian.
Beliau berkata, ia bagi memastikan dana yang disalurkan kepada NGO terbabit tidak disalahgunakan untuk tujuan lain.
“Walaupun KBS tidak mempunyai kaitan secara langsung tetapi kerana ada dana daripada KBS untuk NGO seperti ini saya harap peruntukan daripada KBS dipantau
“Supaya program yang mereka buat sesuai dengan aspirasi kerajaan. Walaupun dijawab pula ada program ke masjid dan sebagainya tetapi kita tak boleh samakan seperti membandingkan epal dengan oren.
“Saya harap program seperti ini dapat dipantau jika dapat peruntukan daripada KBS,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial poster program Ziarah Gereja anjuran Impact Malaysia.
Bagaimanapun, NGO itu berkata, program yang disasarkan kepada belia itu bukan hanya melibatkan ziarah ke gereja sahaja tetapi juga ke rumah ibadat agama lain termasuk Islam. – Malaysiapost