SIS gagal cabar fatwa isytihar sesat

SIS gagal cabar fatwa isytihar sesat

MAHKAMAH Rayuan menolak rayuan Sisters in Islam (SIS) Forum (Malaysia) untuk membatalkan fatwa yang mengisytiharkan organisasi itu sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran sebenar Islam.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan melalui keputusan majoriti 2-1 menolak rayuan berkenaan dengan alasan rayuan itu tidak mempunyai sebarang merit.

Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Has Zanah Mehat yang mengetuai panel dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali memutuskan hakim Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf ketika menolak semakan kehakiman SIS untuk mencabar keputusan itu bagi membolehkan mereka campur tangan.

Sementara itu, seorang lagi hakim dalam panel sama, iaitu Hakim Datuk M Gunalan menentang.

Ketika membacakan penghakiman pada prosiding yang dijalankan secara dalam talian, Che Mohd Ruzima berkata, mengikut Seksyen 47 Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam 1991, Jawatankusa Fatwa diberikan kuasa untuk menghasilkan fatwa atas apa-apa persoalan yang belum muktamad atau yang menimbulkan kontroversi berhubung hukum syarak.

Katanya, oleh kerana kuantum fatwa berpaksikan ketetapan di bawah hukum syarak, maka segala pertikaian dengan isu kandungannya berada di bawah bidang kuasa eksklusif mahkamah syariah, bukannya mahkamah sivil.

“Kami secara majoriti mendapati tidak ada merit dalam rayuan pemohon yang mewajarkan kami untuk campur tangan di peringkat rayuan…dengan itu rayuan ditolak dan penghakiman Mahkamah Tinggi dikekalkan,” katanya.

Sementara itu, ketika membaca penghakiman menentangnya, Hakim Gunalan berkata, hakim mahkamah tinggi terkhilaf apabila gagal memberikan pertimbangan kehakiman bahawa responden pertama iaitu Jawatankuasa Fatwa Selangor bertindak melangkaui bidang kuasanya.

Katanya, hakim terkhilaf dalam memutuskan bahawa responden pertama boleh mengeluarkan fatwa terhadap organisasi itu.

“Pada pendapat saya, hakim mahkamah tinggi tidak mempunyai sebarang asas untuk membuat dapatan bahawa fatwa berkenaan terpakai terhadap SIS hanya kerana mereka yang mengendalikan pertubuhan itu adalah muslim,” katanya.

Pada 27 Ogos 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman SIS untuk mencabar keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar.

Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu Datuk Nordin Hassan (kini Hakim Mahkamah Rayuan) memutuskan bahawa mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa berkaitan hukum syarak dalam undang-undang syariah.

Hakim itu juga menyatakan, SIS Forum tidak kebal daripada fatwa berkenaan kerana pertubuhan dan pengarah organisasi itu adalah beragama Islam dan aktiviti mereka mempunyai kaitan dengan undang-undang Islam.

Pada 31 Oktober 2014, SIS Forum memfailkan permohonan untuk mencabar keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu sebagai menyeleweng daripada ajaran Islam dan menamakan Jawatankuasa Fatwa Selangor, MAIS dan kerajaan Selangor sebagai responden. – Malaysiapost

Komen