Tangkis tuduhan Muhyiddin demi muhibah kaum, keharmonian agama – Guan Eng

Tangkis tuduhan Muhyiddin demi muhibah kaum, keharmonian agama – Guan Eng

LIM Guan Eng menegaskan beliau terpaksa menangkis tuduhan Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung isu pengecualian cukai Yayasan Albukhary, kerana ia dilihat boleh menjejaskan muhibah antara kaum dan keharmonian agama di negara ini.

Pengerusi DAP itu berkata, kenyataan Muhyiddin jelas tidak berasas dan salah apabila surat pembatalan status pengecualian cukai Yayasan Albukhary oleh beliau kepada LHDN seperti yang dinyatakannya, tidak wujud.

“Saya terpaksa berbuat demikian (tindakan undang-undang) untuk menangkis implikasi berbahaya pembohongan Muhyiddin.

“Ini kerana ia boleh menyemarakkan dan menimbulkan rasa tidak senang apabila seorang Menteri bukan Islam membatalkan status dikecualikan cukai bagi sebuah pertubuhan kebajikan Muslim,” katanya menerusi Facebook.

Dalam pada itu Guan Eng mengulangi pendirian, akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya Muhyiddin tidak menarik dan memohon maaf atas kenyataan yang dibuat Presiden Bersatu itu, selewat-lewatnya esok.

“Peguam saya berpendapat bahawa saya berada di landasan yang kukuh, kerana saya tidak tahu mengenai tindakan, jika ada, yang diambil oleh LHDN.

“Kenyataan fitnah Muhyiddin jelas tidak berasas dan salah apabila surat pembatalan status pengecualian cukai Yayasan Albukhary oleh saya kepada LHDN tidak wujud,” katanya.

Beliau berkata, Muhyiddin membuat kenyataan berkenaan di luar ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), selepas ditahan atas tuduhan rasuah pada 16 Mac lalu.

Guan Eng berkata, beliau telah menafikan sekeras-kerasnya perkara itu dan meminta Muhyiddin menunjukkan bukti serta surat pembatalan tersebut, namun Ahli Parlimen Pagoh itu gagal berbuat demikian.

“Muhyiddin juga tidak mengemukakan sebarang surat atau dokumen daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berhubung perkara ini.

“Beliau tetap bertegas bahawa saya bertanggungjawab secara peribadi walaupun saya tidak mengeluarkan sebarang surat pembatalan.

“Sekiranya Muhyiddin tidak mungkin menarik kenyataannya dan memohon maaf atas kenyataan fitnahnya, saya akan berjumpa beliau di mahkamah untuk membersihkan nama dan reputasi saya,” katanya.

Sebelum ini, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mendakwa Guan Eng ketika menjadi menteri enggan meluluskan pengecualian cukai membabitkan Yayasan Albukhary.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, penafian Guan Eng hanya sekadar gimik politik kerana bimbang rakyat akan marah apabila mendapat tahu beliau membatalkan pengecualian cukai kepada yayasan yang banyak berjasa kepada orang Melayu.

Dakwaan Muhyiddin itu berdasarkan fakta selepas menerima maklumat daripada Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary yang berjumpanya sebelum meminta Menteri Kewangan pada ketika itu, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk mempertimbangkan permohonan itu. – Malaysiapost

Komen