Tiang lampu tak nampak-nampak, Puad akan lapor polis terhadap kakitangan TNB
BAYARAN pemasangan tiang lampu telah dijelaskan sejak 2021, namun sehingga kini ia tidak dilaksanakan.
Justeru Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rengit, Datuk Mohd Puad Zarkashi mahu membuat laporan polis terhadap petugas Tenaga Nasional Berhad (TNB) Batu Pahat.
“Apa sudah jadi TNB Batu Pahat? Wang RM1,500 telah dibayar kepada seorang kakitangan TNB untuk memasang tiang lampu jalan di Jalan Pt Bugis Sg Dulang, Rengit.
“Bayaran dibuat pada bulan Disember 2021. Sampai sekarang tidak dilaksanakan walaupun atas nama CSR TNB. Bukti bayaran ada,” kata Speaker Dewan Undangan Negeri Johor itu di Facebooknya.
Sehubungan itu, Mohd Puad berkata pihaknya terpaksa membeli genset untuk kegunaan sementara.
“Tetapi tindakan staf TNB itu bukan sahaja menjejaskan imej baik TNB tetapi imej saya sebagai Speaker dan Adun Rengit. Laporan polis akan dibuat,” katanya. – Malaysiapost