Tidak terkurang rasa hormat, sayang kepada Shahrizat – Noraini

Tidak terkurang rasa hormat, sayang kepada Shahrizat – Noraini

ADAT pertandingan pasti ada yang menang dan kalah, namun hubungan silaturrahim mesti kekal selamanya.

Begitulah yang dapat digambarkan kepada dua tokoh pemimpin wanita Umno yang baru selesai berentap merebut jawatan sayap itu pada pemilihan Umno 2023, Sabtu lalu.

Meskipun diumum menang sebagai Ketua Wanita Umno, namun Datuk Dr Noraini Ahmad tetap menyanjung hormat lawannya, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Malah, Ahli Parlimen Parit Sulong itu tetap kekal merendah diri selain menghargai teguran dan pandangan Shahrizat yang pernah memimpin Wanita Umno selama sembilan tahun itu.

“Buat Tan Sri Shahrizat, dalam apa keadaan sekalipun, tidak akan terkurang rasa hormat dan sayang saya terhadap Tan Sri.

“Setiap mesej, teguran dan pandangan yang diberikan amat dihargai,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Dalam pertembungan dua penjuru itu, Noraini memperolehi 106 undi daripada 189 bahagian, manakala Shahrizat memperoleh 70 undi sekali gus berjaya mempertahankan jawatan Ketua Wanita Umno buat penggal kedua. – Malaysiapost

Komen