Umno perlu dekati anak muda sepanjang masa – Shahaniza
UMNO perlu menyantuni anak muda bukan sekadar rutin secara bermusim, namun dilakukan secara konsisten dan berstrategi sepanjang masa.
Ketua Umno Bahagian Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin menegaskan, usaha untuk mendekati golongan itu bukan hanya terletak pada bahu sayap Umno, sebaliknya ia tugas parti secara keseluruhan.
Beliau berkata, generasi muda hari ini dapat menilai kewibawaan Umni secara keseluruhan sebelum mereka memberikan sokongan menerusi ledakan informasi di media sosial.
“Umno mesti berani tampil berdepan dengan pembangkang dan menjelaskan isu-isu yang menjadi keresahan rakyat terutama dalam kalangan anak muda.
“Ini kerana generasi muda hari ini mahukan pemimpin yang berani untuk berdebat dan berhujah dengan fakta, bukan hanya pandai berceramah semata-mata.
“Kita jangan harap anak muda akan dekat dengan Umno sekiranya hanya dekati mereka secara bermusim, sebaliknya perlu sepanjang masa dalam menyelesaikan isu berbangkit,” katanya menerusi kenyataan.

Shahaniza yang juga calon jawatan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dalam pemilihan parti pada 18 Mac ini, turut meminta semua ahli berganding bahu bersama kepimpinan tertinggi bagi membentuk satu pasukan yang kuat.
Jelas beliau, kesepaduan parti amat mustahak untuk kepentingan Umno sendiri, selain mengukuhkan kerajaan perpaduan yang didukung hari ini.
“Kalau kita tidak mempunyai sebuah parti yang kuat, bagaimana kita dapat mengekal kedudukan dalam kerajaan hari ini. Apatah lagi, kerajaan hari ini adalah kerajaan perpaduan yang bersandarkan kepada parti-parti untuk membentuk sebuah kerajaan.
“Kalau parti kita tidak kuat, orang tidak mahu dengan kita. Kita perlu mengenepikan perbezaan. Saya rasa, kita pun sudah muhasabah diri dan kenal pasti apa kelemahan.
“Jadi, inilah masanya untuk kita membentuk satu pasukan baharu bersama Presiden dan Timbalan Presiden bagi menguatkan lagi parti berbanding sebelum ini,” ujar bekas Exco Kerajaan Negeri Pahang itu.
Mengenai senarai calon jawatan MKT Umno bagi penggal 2023-2026, Shahaniza berkata, kepelbagaian latar belakang calon yang bertanding adalah satu kelebihan kepada parti.
“Saya tengok ada gabungan pemimpin lama, profesional, wanita dan orang muda. Semoga perwakilan kali ini dapat membentuk satu pasukan yang lengkap terdiri pelbagai latar belakang dan kepakaran untuk mengukuh lagi parti kita.
“Saya rasa, penilaian tentang mereka yang menawarkan diri ini perlu dibuat lebih berhati-hati seperti kita mahu membentuk sebuah pasukan bola sepak. Takkan semua orang nak jadi ‘striker’ sahaja, sebaliknya kita mahu mereka duduk di posisi masing-masing,” kata pemilik nombor calon 50 itu.
Pada Pemilihan Umno kali ini, seramai 95 calon menawarkan diri bertanding jawatan MKT di mana tujuh calon adalah wanita.
Selain Shahaniza, turut bertanding adalah Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Datuk Rosni Sohar, Datuk Suraya Yaacob, Datuk Zahida Zarik Khan, Datuk Mastura Mohd Yazid dan Julie Sabran. – Malaysiapost