Uqasha dedah Kamal Adli pernah terima ugutan bunuh

Uqasha dedah Kamal Adli pernah terima ugutan bunuh

PELAKON Uqasha Senrose meluahkan masih trauma dan bingung dengan tragedi menimpa suaminya yang juga aktor Kamal Adli di Dewan Ekspo Singapura, Ahad lalu.

Uqasha, 30, turut mendedahkan suaminya pernah menerima ugutan bunuh melalui mesej pesanan ringkas.

Bagaimanapun, katanya, mereka tidak mengambil peduli ugutan kerana menyangka ia mungkin dihantar oleh ‘haters’.

“Sebelum ini, penyerang pernah menghantar mesej ingin membunuh Kamal dan mahu seksa hidup-hidup. Tetapi, kami anggap mungkin ‘haters’ yang ingin mengusik kerana tidak semua orang suka kepada kita.

“Lagipun, nombor telefon dari Singapura, jadi kami tidak mengesyaki apa-apa.

“Namun, tidak sangka pada hari kejadian, ugutan ini benar-benar menjadi kenyataan. Ketika kami sedang berkemas untuk pulang selepas selesai menjayakan acara.

“Penyerang ini mulanya bertanya kepada adik saya di mana Kamal. Kami sangkakan penyerang ini hanyalah peminat yang hanya ingin bergambar. Tak sangka, Kamal betul-betul diserang,” kata Uqasha.

Uqasha berkongsi saat-saat cemas tersebut menerusi perbualan telefon bersama pengacara Datuk Aznil Nawawi yang disiarkan secara langsung di Instagram.

Pelakon drama Perempuan Tanpa Dosa itu memaklumkan masih trauma dan bimbang atas kejadian tersebut berikutan melihat sendiri suami dipukul dengan menggunakan cota besi di depan mata.

“Saya bingung dan tidak tahu hendak kata apa apabila melihat suami dalam keadaan berdarah. Selepas ubat bius habis, Kamal jadi lemah dan seperti hendak demam.

“Bayangkanlah, Kamal dipukul berkali-kali di badan dan dua kali di kepala dan muka.

“Saya mohon tolong doakan Kamal. Kejadian ini sudah menjadi kes polis kerana cubaan untuk membunuh, tetapi atas sebab apa, masih belum tahu. Ini kerana kami masih menunggu siasatan polis Singapura,” katanya lagi.

Terdahulu, menerusi sesi live di IG, Uqasaha memberitahu dia terpaksa merahsiakan lokasinya dan Kamal berada atas faktor keselamatan, selain arahan polis.

Selain itu, katanya, apa yang membuatkannya lebih takut apabila penyerang turut mengugut keluarga dan adik-beradiknya.

“Polis meminta kami tidak mendedahkan lokasi kami berada. Ini kerana penyerang turut mengugut keluarga saya. Itu yang membuatkan saya lebih takut lagi.

“Saya tidak sangka kejadian mencurah asid dan sebagainya yang dilakonkan dalam drama benar-benar terjadi kepada saya sendiri.

“Saya sangat trauma, apatah lagi, apabila melihat suami berlumuran darah. Kami tidak tahu apa motif penyerang berbuat demikian, sedangkan tiada sebarang pergaduhan atau permusuhan.

“Cuma, saya minta tolong doakan Kamal baik-baik sahaja. Dia baru sedar daripada ubat bius dan akan menjalani X-Ray.

“Ini kerana saya tidak tahu berapa keretakan pada badannya. Saya merayu tolonglah jangan disebabkan isu ini rakyat Malaysia dan Singapura berbalah.

“Ini bukan sebab negara, tetapi sikap individu itu sendiri. Warga Singapura baik-baik belaka kerana bertungkus-lumus membantu kami pada hari kejadian,” kata Uqasha.

Terdahulu, suspek yang menyerang Kamal bakal didakwa di mahkamah Singapura, hari ini.

Menurut Polis Singapura (SPF), lelaki berusia 33 tahun itu akan dituduh di mahkamah kerana disyaki terbabit dalam kes menyebabkan kecederaan dengan sengaja menggunakan senjata berbahaya. – Malaysiapost

Komen