Wan Saiful kecewa kerajaan tolak cadangan naik elaun nelayan RM500

Wan Saiful kecewa kerajaan tolak cadangan naik elaun nelayan RM500

KEENGGANAN kerajaan menaikkan elaun sara hidup nelayan (ESHN) menjadi RM500 sebulan amat mengecewakan, kata Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu berkata, alasan yang diberikan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menolak cadangan itu memberi gambaran golongan nelayan semakin dipinggir kerajaan.

“Hari ini saya menerima jawapan bertulis daripada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengenai permintaan saya agar elaun sara hidup nelayan dinaikkan kepada RM500 sebulan. Permintaan ini datang dari nelayan-nelayan yang saya temui di kawasan saya Tasek Gelugor.

“Saya kecewa kerana kerajaan enggan menaikkan elaun tersebut walau sedikit pun. Jawapan yang diberikan pun seperti sambil lewa seolah-olah ini isu kecil bagi kerajaan,” katanya di Facebook, hari ini.

Bekas Ketua Penerangan Bersatu itu turut membidas frasa ayat yang digunakan Mohamad dalam jawapan bertulis untuk menolak permintaan kenaikan ESHN.

“Saya amat tidak bersetuju dengan cara Menteri berkata “adalah menjadi hasrat Kementerian untuk mengurangkan kebergantungan kumpulan sasar terhadap bantuan dan insentif oleh Kerajaan”….

“Ayat ini memberi gambaran buruk mengenai nelayan, seolah-olah nelayan sengaja mahu bergantung kepada Kerajaan dan tidak tahu berusaha sendiri. Tidak sepatutnya Menteri menimbulkan persepsi buruk sebegini,” katanya.

Wan Saiful menambah, kehidupan nelayan juga semakin mencabar dan turut merasai kesan kenaikan harga barangan ketika ini.

“Nelayan-nelayan yang saya temui bukan mudah-mudah saja meminta kenaikan ini. Baik nelayan laut mahupun nelayan sungai, mereka bekerja membanting tulang demi mencari rezeki yang halal. Mereka bekerja kuat setiap hari.

“Tetapi kos mereka naik mendadak. Contohnya harga pukat pun ada yang naik dua kali ganda. Sebab itulah mereka mengharap sedikit sahaja tambahan bantuan kerajaan, biarpun untuk sementara waktu,” katanya.

ESHN terbahagi kepada dua kategori yang menyaksikan nelayan laut menerima RM300 sebulan, manakala nelayan darat menerima RM250 sebulan ketika ini.

Wan Saiful juga menyifatkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal memahami rintihan golongan nelayan di kala peningkatan kos sara hidup.

“Kerajaan PH-BN ini terlalu sibuk berpolitik hingga gagal memahami denyut nadi rakyat yang semakin tertekan dengan kenaikan kos sara hidup rakyat biasa.

“Jumlah keseluruhan bajet yang mereka bentangkan adalah amat besar. Tapi rintihan golongan nelayan yang memohon kenaikan elaun ini nampaknya tidak dipedulikan,” katanya. – Malaysiapost

Komen