Wanita koma dipukul suami kini ‘bebas’

Wanita koma dipukul suami kini ‘bebas’

TUNTUTAN fasakh wanita yang dipukul suami hingga koma dan terlantar, Jahidah Nordin, diluluskan Mahkamah Rendah Syariah Seremban, Negeri Sembilan, hari ini.

Sebelum ini, permohonan fasakh Jahidah terhadap suaminya, Rosmaini Abd Raof, difailkan menerusi adik mangsa, Fauziah Nordin, memandangkan dia masih lagi terlantar.

Fauziah berkata, dia membuat tuntutan fasakh mewakili kakaknya pada 1 Februari lalu dan bersyukur proses itu dipermudahkan tanpa menunggu lama.

“Saya sangat bersyukur sebab sudah lama tunggu supaya ada keputusan mengenai perkahwinan kakak ini. Saya memang tidak sangka akan dapat keputusan hari ini, rasa kurang sikit beban saya.

“Saya akan bincang dengan peguam untuk langkah seterusnya kerana ia perlu dilakukan satu persatu memandangkan saya perlu menjaga kakak dan juga anaknya,” katanya seperti dilapor BH.

Fauziah berkata, dia kini lega dan dan dapat memberi fokus terhadap kes jenayah membabitkan Rosmaini dengan kakaknya yang kini masih lagi dalam perbicaraan di mahkamah.

“Saya gembira dan tidak sabar untuk memaklumkan keputusan ini kepada keluarga. Untuk proses seterusnya (hak penjagaan dan tuntutan nafkah) saya akan bincang dengan peguam,” katanya.

Fauziah berkata, dia berharap lelaki yang mencederakan kakaknya itu menerima hukuman setimpal memandangkan tindakan itu menyebabkan kehidupan kakaknya sekeluarga berubah.

Terdahulu, di dalam mahkamah, Peguam Mohd Amirul Adam Ahmad dari Jabatan Bantuan Guaman Negeri Sembilan yang mewakili Fauziah, menyerahkan kenyataan bertulis kepada Hakim, Hamizan Mohd Nor.

Kenyataan sebanyak tujuh muka surat itu mengandungi 31 soalan dan jawapan sebelum Hamizan bertanyakan beberapa soalan pengesahan terhadap Fauziah ketika prosiding.

Ketika prosiding juga, hakim bertanya kepada Fauziah mengenai nafkah kepada kakaknya, sebelum Fauziah memaklumkan lelaki berkenaan tidak pernah melawat atau menghubungi Jahidah, selain tidak memberikan nafkah.

Sementara itu, Mohd Amirul berkata, hakim membuat keputusan hari ini selepas mahkamah berpuas hati dengan keterangan secara bertulis oleh pihak penjaga ad litem serta berdasarkan dokumen yang dikemukakan.

Media sebelum ini melaporkan seorang wanita hamil parah dipercayai dipukul suaminya pada 4 Mei 2021.

Mangsa parah pada kepala dan tengkorak akibat pendarahan selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak disyaki dipukul suaminya. – Malaysiapost

Komen