Zoo Negara belum dapat dipindahkan
CADANGAN untuk memindahkan Zoo Negara ke lokasi lain masih belum dapat dilaksanakan berikutan urusan dan pentadbirannya dikendalikan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad menjelaskan kebanyakan zoo di negara ini diuruskan pihak swasta.
“Zoo Negara dikendalikan Persatuan Zoologikal Malaysia. Ia sudah beroperasi dan berkembang seiring kepesatan pembangunan di Taman Melawati dan Kemensah.
“Ada dicadangkan ia dipindahkan ke Janda Baik dan Bagan Lalang, namun belum direalisasi dan kekal lokasi sedia ada,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) mengenai pemindahan Zoo Negara bagi memberi keselesaan kepada pengunjung.
Menjawab soalan asal Wong Kah Woh (PH- Taiping) jumlah peruntukan yang diberikan kepada Zoo Negara dan Zoo Taiping sejak 2018 sehingga kini, Nik Nazmi berkata, Zoo Negara menerima bantuan sebanyak RM9.86 juta daripada Kerajaan Persekutuan.
Menurutnya, daripada jumlah itu sebanyak RM8.5 juta untuk membantu kos pengoperasian manakala RM1.36 juta bagi menampung kos makanan hidupan liar, pengurusan husbandri dan ubat-ubatan menerusi Bantuan Dana Prihatin Kebajikan Hidupan Liar di bawah inisiatif Kumpulan Wang Covid-19.
Jelasnya, bagi Zoo Taiping & Night Safari pula dimiliki dan diuruskan oleh Majlis Perbandaran Taiping menerima peruntukan berjumlah RM4.8 juta.
“Sebanyak RM3.8 juta adalah bagi menaik taraf fasiliti zoo dan RM1 juta bagi pengurusan dan kebajikan hidupan liar di bawah Bantuan Dana Prihatin Kebajikan Hidupan Liar di bawah inisiatif Kumpulan Wang Covid-19,” katanya.
Menurutnya, kehadiran pelancong bagi tempoh 2018 hingga 2022, Zoo Negara mencatat kehadiran seramai 1,513,292 pelancong manakala Zoo Taiping & Night Safari seramai 3,074,852 orang. – Malaysiapost