Ahmad Jazlan dilantik semula Pengerusi Felcra
BEKAS Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dilantik semula sebagai Pengerusi FELCRA.
Pelantikan tersebut diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap pada Majlis Pengenalan Calon-Calon Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno
“Saya cukup menghargai Ahmad Jazlan yang cukup komitmen dan saya ingin umumkan beliau dilantik semula sebagai Pengerusi Felcra,” katanya di Kota Bharu hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan kerajaan menangguhkan pelantikan Ahmad Jazlan sebagai Pengerusi Felcra.
Kata Ahmad Zahid, penyelarasan lantikan terbabit akan ditentukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ujarnya, penangguhan lantikan itu dibuat berdasarkan penyelarasan kepada semua badan berkanun, GLC dan syarikat lain di bawah kementerian serta agensi.
21 Disember tahun lalu, Anwar dilaporkan berkata lantikan semula Ahmad Jazlan, sebagai Pengerusi Felcra yang diumumkan oleh Ahmad Zahid Hamidi pada 16 Disember, ditangguhkan.
Perdana Menteri berkata, pelantikan semula itu sememangnya sudah dimaklumkan oleh Ahmad Zahid, namun wujud kekeliruan berhubung lantikan politik dalam badan berkanun serta GLC. – Malaysiapost