‘Bagi pihak Singapura, saya mohon maaf’ – Aaron Aziz

‘Bagi pihak Singapura, saya mohon maaf’ – Aaron Aziz

PELAKON, Datuk Aaron Aziz meluahkan rasa kesal dengan insiden melibatkan pelakon, Kamal Adli yang parah dipukul di Singapura, tiga hari lalu.

Katanya, dia berharap insiden itu tidak diperbesarkan dan diselesaikan mengikut lunas undang-undang.

Pelakon berusia 47 tahun itu juga mendoakan Kamal dan isteri, Uqasha Senrose berada dalam keadaan baik.

“Saya bukan nak masuk campur, orang itu (pelaku) sudah ditangkap. Saya nak tolong Kamal dan Uqasha yang dalam keadaan trauma.

“Harap kes ini tidak terus diperbesarkan dan mohon rakan-rakan di Malaysia jangan marah. Ramai artis Singapura di Malaysia. Diharapkan tiada insiden balas dendam.

“Bagi pihak (Singapura), saya mohon maaf. Saya sedih dengan apa yang menimpa Kamal. Saya doakan dia dan Uqasha dalam keadaan baik,” katanya dalam video di Instagram.

Kamal cedera teruk di kepala selepas dipukul seorang lelaki yang tidak dikenali dengan menggunakan cota di Singapura, malam Ahad lalu.

Menurut isterinya Uqasha, insiden itu berlaku ketika kedua-dua mereka menghadiri suatu acara di kota raya itu.

Kamal dikejarkan ke hospital dan terpaksa menjalani prosedur pembedahan susulan mengalami pendarahan teruk berpunca daripada lubang besar di bahagian kepalanya selepas dipukul bertubi-tubi menggunakan cota.

Tertuduh, Muhammad Nabil Rashid, 33, didakwa di Mahkamah Singapura semalam atas tuduhan menyerang Kamal.

Dia bagaimanapun akan direman di Institut Kesihatan Mental (IMH) untuk tempoh dua minggu dan diletakkan di bawah pemantauan pakar. – Malaysiapost

Komen