Beri peluang Umno selesaikan masalah air di Kelantan – Zahid
PRESIDEN Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi merayu pengundi di Kelantan memberi peluang kepada Umno pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, untuk menyelesaikan masalah air di negeri itu.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata masalah air di Kelantan adalah janji Umno yang akan diselesaikan.
“Bagi saya di Kelantan, masalah air mesti diselesaikan dan itu adalah janji Umno dan Barisan Nasional (BN). Dalam keadaan ini, pengundi Kelantan perlu membantu Umno untuk sekali ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Pengenalan Calon-Calon Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid meminta Umno diberi peluang di Kelantan untuk tempoh lima tahun bagi menyelesaikan masalah air yang telah lama membelenggu negeri itu.
“Cuba beri peluang untuk Umno hanya untuk lima tahun sahaja, jika dirasakan tidak ok, boleh tukar semula.
“Kita hanya perlukan masa lima tahun untuk BN membuktikan kita mampu memberi bekalan air bersih kepada rakyat di negeri ini,” katanya lagi.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, pihak tertentu tidak boleh menyalahkan Allah dalam isu air keruh, sebaliknya sebagai pemimpin perlu berusaha memberi air bersih kepada rakyat.
“Jadi berilah peluang kepada Umno dan BN untuk kali ini. Dasar yang baik yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri, kita akan teruskan,” katanya. – Malaysiapost