BERSIH bidas kerajaan lantik pemimpin politik teraju GLC

BERSIH bidas kerajaan lantik pemimpin politik teraju GLC

GABUNGAN Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) membidas Kerajaan Perpaduan kerana melantik beberapa pemimpin politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Pengerusi BERSIH, Thomas Fann berkata, pelantikan politik bercanggah dengan pendirian kerajaan sebelum ini dan merugikan pengundi jika ia membabitkan wakil rakyat pada masa ini.

“Masa dan perhatian mereka akan dibahagikan antara melaksanakan tugas parlimen dan korporat mereka. Ahli Parlimen dan Adun sepatutnya dilarang daripada memegang jawatan dalam GLC.

“GLC adalah penjaga kekayaan dan sumber awam dan kita perlu melantik orang paling layak untuk menambah nilai kepada entiti korporat ini daripada menghabiskan dananya melalui gaji dan faedah yang lumayan.

“Dalam senario terburuk, dana boleh dialihkan secara rasuah untuk kepentingan peribadi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Hari ini, bekas Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, dilantik semula sebagai Pengerusi FELCRA.

Pelantikannya diumum Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Disember lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menangguhkan pelantikan Ahmad Jazlan sebagai Pengerusi FELCRA bagi membolehkan penyelarasan lantikan di semua badan berkanun, GLC serta agensi lain, dilaksanakan.

Kelmarin, Ahmad Zahid turut mengesahkan pelantikan bekas Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Pengerusi MARA, agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Minggu lalu, kerajaan juga mengumumkan pelantikan bekas Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya yang juga Ahli Parlimen Balik Pulau dari PKR, Bakhtiar Wan Chik, sebagai pengerusi MyCreative Ventures Sdn Bhd.

MyCreative ialah anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan dan melapor kepada Kementerian Komunikasi dan Digital. – Malaysiapost

Komen