Cagar KWSP: Cadangan PM praktikal, sediakan ‘jala’ untuk rakyat
TINDAKAN Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak sewenang-wenangnya membenarkan pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ketika ini, adalah kerana memikirkan masa depan rakyat di hari tua.
Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff berkata, Perdana Menteri sebaliknya menyediakan ‘jala’ untuk membantu rakyat yang terdesak bagi meneruskan kelangsungan hidup.
“Memikirkan masa depan rakyat di hari tualah, DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim) mencadangkan idea untuk cagarkan KWSP. Beliau sediakan jala untuk rakyat mencari ikan, bukannya memberi rakyat makan ikan.
“Cadangan Perdana Menteri ini baik dan praktikal. Duit KWSP yang jadi cagaran itu masih dalam simpanan. Tiap tiap tahun dividend bertambah. Kalau tidak bayar, barulah bank mengambil cagaran itu,” katanya di Facebook.
Mohammad Agus berkata, bantahan ahli politik pembangkang terhadap cadangan membenarkan simpanan KWSP dicagar untuk mendapat pinjaman adalah permainan politik yang tidak bertanggungjawab.
“Cadangan ini dibantah oleh badan bukan kerajaan (NGO) dan ahli politik pembangkang yang menyifatkannya sebagai tidak membantu pencarum yang terhimpit dengan keadaan ekonomi.
“Permainan politik sebegini adalah cukup tidak bertanggungjawab. Bahaya Malaysia bila ada orang politik semacam ini. Sedih bila ada orang politik mengapi-apikan rakyat supaya membenci dan menolak cadangan DSAI,” katanya.
Pada 9 Mac lalu, ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2023, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengemukakan cadangan membenarkan pencarum KWSP yang terdesak mencagarkan caruman untuk pinjaman bank.
Mohammad Agus berkata, sebagai simpanan hari tua pengeluaran KWSP tidak boleh dikeluarkan sehingga berusia 55 tahun, namun semasa negara dilanda Covid-19, kerajaan ketika itu membenarkan pengeluarannya bagi meringankan beban rakyat.
Jelasnya, sekurang-kurangnya inisiatif Perdana Menteri dengan membenarkan simpanan KWSP sebagai cagaran dan dipersetujui pihak bank adalah satu solusi untuk rakyat.
“Modal KWSP tidak hilang. Dividen KWSP yang bayarkan pinjaman bank. Kalau keluarkan simpanan KWSP bukan sahaja duit tidak ada, dividen pun tidak dapat,” katanya.
Justeru itu, Mohammad Agus menasihatkan pihak yang menentang cadangan itu agar berhenti menggunakan isu pengeluaran khas KWSP untuk mempengaruhi rakyat, sebaliknya memberi cadangan yang lebih bernas.
“Didik rakyat supaya bijak berbelanja mengikut keperluan, bukan kehendak.
“Memahami DSAI, beliau adalah terbaik dalam mengajar rakyat berhemah, mengajar mengurus kewangan keluarga, mengajar rakyatnya berdikari.
“Pembangkang, hentilah hasut rakyat dan bimbinglah mereka supaya berjimat,” katanya. – Malaysiapost