Chegu Bard akan buat laporan polis terhadap Hannah isu program Jom Ziarah gereja

Chegu Bard akan buat laporan polis terhadap Hannah isu program Jom Ziarah gereja

MENYAMAKAN agama Islam dengan agama lain merupakan tindakan pluralisma dan liberalisma yang melampau, kata pemimpin Bersatu, Badrul Hisham Shahrin.

Beliau yang juga dikenali dengan panggilan Chegu Bard, merujuk kepada isu membabitkan program Jom Ziarah gereja oleh Impact Malaysia, iaitu sebuah agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Menurutnya, sebarang usaha mempromosi agama lain kepada orang Islam ialah kesalahan jenayah berdasarkan Artikel 11 Perlembagaan dan diperkukuh dengan pelbagai undang undang di peringkat persekutuan dan negeri.

Badrul Hisham berkata, lebih malang lagi kerja ‘jenayah’ itu ditanggung dengan wang dana rakyat.

Beliau turut mendakwa Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh cuba memutar belit mengenai isu berkenaan.

“Kamu (Hannah) tak perlu belit belit, jika program kamu tidak salah kenapa arahkan agensi tersebut padam posting poster berbahasa Melayu yang mengajak pemuda bukan Kristian ke gereja selepas saya dan kawan-kawan dedahkan?

“Kamu sebut mengenai agensi bawah kamu juga buat program bawa belia ke masjid. Bawa belia ke Masjid tidak halalkan tindakan program rekrut belia khususnya Islam ke gereja,” katanya.

Menurutnya, pemimpin Islam ke rumah ibadat agama lain dengan tidak mengikuti acara keagamaan ialah harus kerana dia pemimpin dan perlu melihat masalah dan memahami semua rakyat bawah pimpinannya.

“Ini tidak boleh disamakan dengan kegiatan rekrut remaja Islam bawa ke gereja untuk mendengar dakyah bahawa semua agama sama,” tegasnya.

Beliau berkata, selain itu banyak lagi isu yang perlu ditangani KBS, dari membazir wang rakyat membawa anak muda khususnya Islam ke gereja.

“Adalah lebih baik jutaan wang itu digunakan untuk bantu belia berniaga, bantu pelajar susah, bantu pembangunan sukan atau kebajikan sama ada atlet atau belas atlet,” katanya.

Sementara itu, Badrul Hisham berkata, sehingga kini beliau masih belum dihubungi pihak polis berhubung isu yang dibangkitkannya itu dan beliau sedia dipanggil serta akan membuat laporan balas ke atas Hannah.

Terdahulu Hannah dalam ucapan penggulungan peringkat jawatankuasa kementeriannya di Dewan Rakyat semalam, memaklumkan program Jom Ziarah yang membabitkan kunjungan ke gereja oleh Impact Malaysia tidak melibatkan belia Islam.

Jelasnya, dakwaan program itu turut melibatkan belia Islam adalah tidak benar.

Tambah Hannah, beliau sememangnya memahami Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf agama Islam sebagai agama Persekutuan. – Malaysiapost

Komen