Diramal tak menang walau satu kerusi, macam mana nak selesai isu air?
AHLI Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari menyindir serta mempersoalkan janji Umno untuk menyelesaikan masalah air di Kelantan jika diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
“Ada pihak berjanji untuk selesaikan masalah air di Kelantan jika diberi mandat dalam PRN nanti.
“Lupakah beliau bahawa Menteri Air bukan dari partinya, Perdana Menteri bukan dari partinya, menteri yang jaga kantung negara bukan dari partinya.
“Bagaimana nak buat keputusan perolehan yang besar jika kesemuanya itu bukan dari partinya?,” soal Ahmad Fadhli menerusi kenyataan di Facebooknya.
Ketua Pemuda PAS itu seterusnya mempersoalkan adakah menteri tertentu kan menggunakan kuasanya untuk bagi pengecualian.
“Adalah diramalkan InsyaAllah partinya (Umno) tiada mendapat satu kerusi pun di Kelantan, Kedah, Terengganu, Selangor dan Pulau Pinang,” katanya.
Terdahulu hari ini, Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi merayu pengundi di Kelantan memberi peluang kepada Umno pada PRN akan datang, untuk menyelesaikan masalah air di negeri itu.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata masalah air di Kelantan adalah janji Umno yang akan diselesaikan.
“Bagi saya di Kelantan, masalah air mesti diselesaikan dan itu adalah janji Umno dan Barisan Nasional (BN). Dalam keadaan ini, pengundi Kelantan perlu membantu Umno untuk sekali ini,” katanya. – Malaysiapost