Guan Eng hantar surat tuntutan pada Muhyiddin

Guan Eng hantar surat tuntutan pada Muhyiddin

PENGERUSI DAP, Lim Guan Eng menghantar surat tuntutan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, menuntut bekas Perdana Menteri itu menarik balik kenyataan dan memohon maaf segera berhubung tuduhan mengaitkannya dengan pembatalan cukai kepada Yayasan Albukhary.

Bekas Menteri Kewangan itu memuat naik salinan surat tuntutan ke atas Muhyiddin menerusi Facebooknya, hari ini.

Berdasarkan salinan dokumen yang dimuat naik itu, surat berkenaan dihantar kepada Muhyiddin menerusi Tetuan Gouk, hari ini.

Mengikut surat tuntutan terbabit, Presiden Bersatu itu didakwa mengeluarkan kenyataan mengaitkan Guan Eng sebagai individu yang bertanggungjawab atas pembatalan cukai kepada Yayasan Albukhary menerusi tiga kenyataan berasingan.

Kenyataan itu dikeluarkan Muhyiddin menerusi dua kenyataan media yang disiarkan dalam akaun Facebook pada 10 dan 11 Mac lalu serta satu kenyataan menerusi sidang medianya selepas ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu, pada 12 Mac lalu.

Tuduhan Muhyiddin itu dianggap sebagai fitnah yang amat serius dan bermotifkan politik, selain berniat jahat untuk memburukkan imej Guan Eng.

Berikutan itu, Muhyiddin diberi tempoh tujuh hari bermula hari ini untuk menarik balik kenyataan serta membuat permohonan maaf secara terbuka, selain tidak mengulangi dakwaan itu.

Sekiranya tuntutan itu gagal dipenuhi dalam tempoh ditetapkan, Tetuan Gouk bagi pihak Guan Eng, akan memfailkan writ saman bagi memulakan prosiding undang-undang terhadap Muhyiddin.

Terdahulu, Muhyiddin dalam kenyataan selepas disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 9 Mac lalu, mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) membatalkan pengecualian pembayaran cukai diluluskan kepada Yayasan Albukhary.

Muhyiddin berkata, beliau tahu punca Guan Eng yang ketika itu Menteri Kewangan, membatalkan pengecualian cukai yang diperoleh Yayasan Albukhary sebelum itu.

Sebelum ini, Guan Eng mengulangi permintaannya mahu Muhyiddin mengemukakan bukti mengenai surat pembatalan cukai kepada Yayasan Albukhary yang didakwa dikeluarkan beliau atau berdepan tindakan saman fitnah. – Malaysiapost

Komen