Kadar OPR kekal 2.75 peratus
KERAJAAN menetapkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kekal pada 2.75 peratus.
Timbalan Menteri Kewangan, Sim Chee Keong berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada 8 dan 9 Mac lalu.
“MPC semasa mesyuaratnya yang terkini pada 8 hingga 9 Mac telah memutuskan untuk mengekalkan kadar OPR pada tahap 2.75 peratus iaitu kadar sama yang turut dicatatkan semasa Mesyuarat MPC yang pertama pada 18 sehingga 19 Januari 2023.
“Keputusan penangguhan sementara OPR ini dibuat bagi menilai kesan pelarasan kumulatif 100 mata asas OPR pada tahun lalu terhadap prospek inflasi dan ekonomi Malaysia,” katanya di Dewan Rakyat hari ini, menjawab soalan Azli Yusof (PH – Shah Alam).
Mengulas lanjut, Chee Keong berkata, penangguhan OPR itu dibuat dengan mengambil kira kesan sela masa (lag effect) daripada peningkatan OPR sebanyak empat kali berturut-turut pada 2022.
“Bagi membolehkan MPC dan BNM (Bank Negara) mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai kesan kenaikan OPR terhadap pengurangan tekanan permintaan yang melibatkan perubahan tingkah laku isi rumah dan perniagaan yang biasanya akan mengambil masa.
“Setakat ini, tekanan harga menunjukkan tanda awal penurunan pada akhir hujung tahun 2022, walaupun inflasi kekal melebihi purata jangka panjang 10 tahun iaitu sekitar dua peratus,” katanya. – Malaysiapost